Uqasha Senrose Mengaku Khilaf Canang Kisah Rumah Tangga

Uqasha Senrose Mengaku Khilaf Canang Kisah Rumah Tangga

Pelakon Uqasha Senrose, 33, memohon maaf kepada semua pihak atas tindakannya sebelum ini yang membuka kisah rumah tangganya kepada umum.

Pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen mengakui kesilapan tersebut dan menyesal kerana membiarkan emosi menguasai diri sehingga bertindak tanpa berfikir panjang.

“Saya bertanggungjawab atas apa yang telah saya lakukan sebelum ini. Saya minta maaf kepada semua atas video dan kapsyen di media sosial yang mungkin mengundang kemarahan serta membuka aib sesiapa. Saya tidak berniat begitu.

“Saya sedar saya tidak sepatutnya menceritakan hal rumah tangga kepada umum. Itu memang kesilapan saya. Ketika itu saya marah, sedih dan penat, tetapi saya tahu itu bukan alasan. Saya patut tangani semua ini dengan lebih matang dan tertutup,” katanya menerusi sebuah video di Instagram.

Uqasha turut memohon maaf kepada keluarganya yang turut terpalit dengan kemelut rumah tangganya bersama suami, aktor Kamal Adli.

“Saya juga ingin minta maaf kepada keluarga, terutama ibu saya yang sentiasa ada bersama dalam setiap keadaan. Saya tahu tindakan saya menyebabkan mereka malu dan kecewa,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Uqasha menegaskan dia kini mahu memberi tumpuan untuk memperbaiki diri, menjadi wanita dan ibu yang lebih kuat.

“Saya sedang belajar untuk bangkit dan menjadi insan yang lebih baik. Ini perjalanan saya. Terima kasih kepada semua yang terus menyokong saya walau dalam waktu sukar.

“Ada yang menasihati saya untuk dapatkan bantuan, dan ya, saya sudah pun melakukannya,” katanya lagi.

Untuk makluman, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu atas alasan tiada lagi persefahaman.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira.

Related post

Leave a Reply