Uniqlo Naikkan Gaji Asas ‘Fresh Grad’ Di Jepun Sehingga 12 Peratus Bermula 2026

Uniqlo Naikkan Gaji Asas ‘Fresh Grad’ Di Jepun Sehingga 12 Peratus Bermula 2026

Fast Retailing, syarikat pemilik kepada peruncit pakaian terkenal Jepun, Uniqlo, akan menaikkan gaji asas untuk graduan baharu di Jepun sehingga 12 peratus.

Langkah ini diambil bagi menarik dan mengekalkan bakat dalam suasana inflasi yang semakin meningkat.

Menurut laporan Bloomberg, bermula Mac 2026, gaji tahunan bagi graduan universiti yang menyertai program laluan pengurusan akan dinaikkan kepada 5.9 juta yen (RM153,394).

Sementara itu, gaji bagi graduan baharu kategori lain akan meningkat sekitar 10 peratus kepada 4.5 juta yen (RM116,956).

Fast Retailing menyatakan yang kenaikan gaji ini merupakan sebahagian daripada strategi untuk mewujudkan kitaran pertumbuhan dan peningkatan gaji yang positif, dengan matlamat meningkatkan produktiviti keseluruhan serta mencapai pertumbuhan mampan.

Syarikat itu turut mengambil langkah serupa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pada 2023, Fast Retailing telah menaikkan gaji tahunan pekerja sepenuh masa di Jepun sehingga 40 peratus.

Keputusan Fast Retailing ini mencerminkan perubahan lebih besar dalam landskap korporat Jepun, di mana kekurangan tenaga kerja semakin ketara dan harga pengguna meningkat ke paras tertinggi dalam beberapa dekad.

Namun begitu, Jepun masih ketinggalan berbanding negara rakan setaranya dari segi pertumbuhan gaji.

Menurut data Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), purata gaji di Jepun pada tahun 2024 adalah ASD49,446 (RM201,463), yang merupakan paling rendah dalam kalangan negara Kumpulan Tujuh (G-7) iaitu Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat mencatat purata gaji tertinggi dalam kalangan negara G-7, iaitu ASD82,993 (RM338,464).

Related post

Leave a Reply