
Tunggang Motosikal Ketika Mabuk, Yoo Ji On Akui Kesalahan & Undur Diri Daripada Produksi Drama
Pelakon Yoon Ji On meluahkan rasa kesal yang tidak terhingga selepas terlibat dalam insiden menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.
Menerusi kemas kini di Instagram, Ji On menyesali tindakannya itu yang dianggap sebagai satu kesilapan besar.
“Saya berasa sangat berat hati dan amat menyesal untuk berkongsi berita malang ini. Pada 16 September, saya telah melakukan kesilapan besar dengan menunggang sebuah motosikal yang diletakkan di tepi jalan ketika berada dalam keadaan mabuk teruk, sehingga saya tidak jelas mengingati apa yang berlaku.
“Saya mengakui semua pertuduhan dan kini sedang menilai kesan daripada perbuatan saya. Saya amat kesal kerana menyebabkan kesakitan dan kekecewaan kepada ramai yang menyokong saya. Saya benar-benar minta maaf,” tulisnya.
Dalam masa sama, Ji On turut berjanji akan bertanggungjawab penuh atas tindakannya.
“Saya akan hidup dengan penuh berhati-hati dan penyesalan sepanjang hayat bagi memastikan perkara ini tidak berulang lagi. Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada siasatan yang sedang dijalankan serta menerima apa sahaja akibatnya.
“Tiada alasan untuk tingkah laku saya. Sekali lagi, saya tunduk memohon maaf. Saya benar-benar kesal,” tulisnya lagi.
Pelakon itu juga mengundurkan diri daripada drama Channel A berjudul A Baby is Coming yang dijadualkan tayangannya pada 2026.
Yoon Ji On memulakan kerjaya lakonan di pentas teater pada 2013 dan mula mendapat perhatian melalui drama Be Melodramatic. Dia kemudian membintangi beberapa drama lain termasuk Monthly Magazine Home, You Are My Spring, Mount Jiri dan Love Next Door, sekali gus membina pengikut yang ramai.
Sumber: Allkpop