Tiga Minggu Di Hospital, A. Aida Akhirnya Dibenarkan Pulang
Pengarah dan penerbit, Datuk A. Aida, 55, akhirnya dibenarkan pulang ke rumah selepas tiga minggu dirawat di hospital akibat komplikasi yang dialami susulan pembedahan lutut baru-baru ini.
Menurut anaknya, Azeva Natassha, 25, ibunya kini berada dalam fasa pemulihan dan dinasihatkan untuk berehat sepenuhnya di rumah sebelum kembali aktif dalam dunia seni.
“Syukur, mama (A Aida) sudah boleh dibenarkan pulang ke rumah. Terima kasih kepada semua yang tidak henti-henti mendoakan kesihatannya.
“Buat masa ini, dia perlu berehat beberapa bulan sebelum benar-benar mampu berjalan tanpa bantuan,” ujar Azeva menerusi satu hantaran di media sosial.
Dalam perkongsian tersebut, Azeva turut memuat naik foto ibunya yang duduk di atas kerusi roda.
Tambahnya lagi, doktor yang merawat ibunya turut menyifatkan perkembangan kesihatannya sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Doktor sendiri terkejut dengan kemajuan mama. Mereka kata, ini benar-benar satu keajaiban. Kami sekeluarga sangat bersyukur atas rahmat dan doa semua,” katanya lagi.
Terdahulu, A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas rebah ketika menjalani sesi fisioterapi pada 25 September lalu.
Keadaannya ketika itu membimbangkan apabila dia terpaksa ditidurkan untuk pemantauan rapi, namun kembali sedar beberapa hari kemudian sebelum dipindahkan ke wad biasa.
