Tidak Lagi Lantang Di Media Sosial, Puteri Sarah Mahu Hidup Tenang

Tidak Lagi Lantang Di Media Sosial, Puteri Sarah Mahu Hidup Tenang

Pelakon, Puteri Sarah, 40, mengakui dirinya kini lebih selesa menjalani kehidupan dengan tenang bersama keluarga dan tidak mahu lagi lantang bersuara seperti sebelum ini.

Menurut pemilik nama lengkap Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, perubahan pendirian itu hadir selepas menyedari setiap komen atau pandangan yang dikongsi mudah disalah tafsir sehingga menimbulkan kontroversi.

“Dulu saya lantang sebab ada isu tertentu, terutamanya isu berkaitan diri saya sendiri dan juga perjuangan hak wanita bersama rakan-rakan.

“Tapi sekarang saya rasa lebih baik untuk kurangkan. Saya lebih memilih ketenangan serta mahu memberi tumpuan kepada kehidupan harian.

“Fokus utama saya kini adalah pada kerjaya seni, perniagaan, dan juga anak-anak. Setiap kali ada masa cuti, saya akan luangkan waktu dengan mereka termasuk bercuti ke Jakarta,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan karier, Sarah memberitahu dia mahu terus berkembang dalam dunia lakonan dan tidak mahu lagi dikenali hanya kerana kontroversi.

“Nama saya pernah menjadi tumpuan besar sebelum ini. Memang ada baik dan buruknya bila sentiasa jadi perhatian. Tetapi kalau banyak sangat kontroversi, silap kecil pun akan diperbesarkan orang.

“Sebab itu saya sekarang lebih memilih hidup tenang. Saya mahu orang mengenali saya kerana lakonan yang bagus, juga kerana bisnes dan produk yang berkualiti, bukan kerana cerita negatif,” jelas ibu dua cahaya mata itu.

Related post

Leave a Reply