‘Ternampak Lelaki Tua Berbaju Putih, Bersongkok & Bertongkat’
Usahawan, Haliza Maysuri tampil menceritakan detik sukar yang dipercayai ada kaitan dengan gangguan sihir yang menghantuinya sejak bertahun-tahun lalu.
Haliza berkata, gangguan mistik itu sering datang secara tiba-tiba dan menyebabkan dirinya jatuh rebah ketika bekerja, namun keputusan pemeriksaan kesihatan di hospital tidak menunjukkan sebarang penyakit fizikal.
“Saya tak dapat nak sembunyikan lagi. Banyak kali berlaku ketika saya sedang layan pelanggan, tiba-tiba saya rebah. Selalunya suami akan azankan barulah saya pulih semula.
“Saya buat pemeriksaan di hospital dan tak ada apa-apa penyakit dikesan. Peliknya, saya hanya sakit ketika bekerja, terutama bila ada majlis atau ketika saya masuk ke premis perniagaan sendiri. Macam-macam perkara aneh jadi di rumah juga,” katanya.
Menurut Haliza lagi, gangguan tersebut bukan perkara baru, ia bermula beberapa tahun selepas dia memulakan perniagaan pada 1998.
“Kami mula berniaga sejak 1998, tetapi pada 2004 saya sudah mula rasa sakit. Ketika berniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman, pernah sekali masa nak buka kedai, saya nampak tanah dan bunga kemboja ditabur di pintu. Dalam almari kaca pula penuh dengan air.
“Pernah juga saya ternampak seorang lelaki tua berbaju putih, bersongkok dan bertongkat. Dia beri salam, saya ingatkan nak minta sedekah, tapi bila saya nak hulur duit, kelibatnya hilang.
“Selepas itu saya makin tak sihat. Bila pelanggan ramai, saya menangis dan menggigil, sampai pernah jatuh pengsan,” kata pengasas jenama tudung Bawal Exclusive.
Walaupun diuji dengan perkara-perkara mistik yang menakutkan, Haliza tetap melihat situasi tersebut dari sudut positif dan menganggapnya sebagai peringatan untuk memperbaiki diri.
“Saya tak pernah bermusuh dengan sesiapa dalam berniaga. Saya fokus pada kerja sendiri. Tapi apa pun, saya tetap kuat. Pendinding terbaik adalah sedekah dan amalan.
“Saya percaya, kalau saya tidak diuji dengan kesakitan, mungkin saya akan hanyut dengan dunia. Tuhan uji saya supaya saya kejar dunia dan akhirat,” katanya lagi.
