Terima Gangguan Seksual, Sophia Albarakbah Buat Laporan Polis

Pelakon, Sophia Albarakbah, 32, tampil membuat laporan polis berhubung buli siber dan gangguan seksual yang diterimanya sejak beberapa hari lalu.

Pemilik nama sebenar Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman kelihatan sebak ketika bertemu media dan tidak mampu menjawab soalan berkaitan tekanan yang dihadapinya.

“Saya minta maaf… saya serahkan semua kepada peguam saya untuk jawab,” ujar Sophia yang ditemui di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Dalam pada itu, peguam mewakili Sophia, Tuan Aizat Azam berkata, laporan polis dibuat susulan serangan dalam media sosial yang melampau terhadap anak guamnya yang dilihat semakin tidak terkawal.

Menurut Aizat, terdapat lebih 10 hantaran di media sosial yang mengandungi fitnah, penghinaan, ugutan, gangguan seksual serta kandungan menjijikkan yang jelas mencemarkan nama baik pelakon tersebut.

“Sophia menjadi mangsa kepada fitnah terbuka dan tuduhan kononnya dia ‘berdrama’ demi publisiti murahan, selain menerima komen lucah dan menghina yang menormalisasikan budaya gangguan seksual dalam talian.

“Tidak cukup dengan itu, terdapat juga video parodi dan gambar yang dimanipulasi dengan niat untuk memperlekehkan dan menjatuhkan maruah Sophia secara terbuka,” katanya.

Jelas Aizat lagi, kesan buli tersebut bukan sahaja menyentuh aspek reputasi, malah telah memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental dan fokus Sophia dalam kerjayanya sebagai anak seni.

“Anak guam kami kini mengalami tekanan emosi serius, keresahan berpanjangan serta gangguan terhadap kesihatan mental dan kerjaya lakonannya.

“Kami mohon agar pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan segera.

“Ini bukan soal hiburan semata-mata, ini soal maruah. Sophia berhak mendapat perlindungan undang-undang seperti rakyat Malaysia yang lain,” jelasnya lagi.

Isu membabitkan Sophia tercetus selepas dia memenangi salah satu kategori dalam sebuah acara anugerah baru-baru ini, yang mana trofi disampaikan oleh pelakon dan penyanyi, Bella Astillah.

Related post

Leave a Reply