Terbang Ke China Atas Urusan Kerja, Wanita Asal Kuching Gagal Dikesan

Terbang Ke China Atas Urusan Kerja, Wanita Asal Kuching Gagal Dikesan

Seorang wanita muda dari Kuching dilaporkan hilang selama beberapa hari selepas melakukan perjalanan seorang diri ke China atas urusan kerja, sekali gus menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan ahli keluarga mengenai keselamatannya.

Susulan kehilangan Yang Meiling, 25, keluarganya telah membuat laporan polis dan mendapatkan bantuan daripada Kementerian Dalam Negeri.

Bercakap kepada Sin Chew Daily, kakak Yang memaklumkan adiknya berlepas dari Kuching ke Kuala Lumpur pada 8 Disember sebelum meneruskan perjalanan ke China keesokan harinya.

Menurutnya, Yang kebiasaannya berkongsi perkembangan perjalanannya di Instagram, namun hantaran tersebut semakin berkurangan sebelum kemas kini terakhir dibuat pada 15 Disember.

Tambahnya, berdasarkan hantaran terakhir itu, hanya dapat dipastikan latar belakang foto berkenaan diambil di Huzhou, China.

Kakaknya menambah, kali terakhir Yang menghubungi ibu mereka adalah pada 18 Disember lalu dan memaklumkan dia akan pulang ke tanah air pada 19 Disember.

“Sejak panggilan telefon itu, kami tidak lagi menerima sebarang berita daripadanya dan kami juga tidak dapat mengesahkan dengan siapa dia pergi ke China.

“Menurut seorang kenalan, dia dipercayai ke sana bersama seorang rakan yang merupakan warganegara China, namun identiti individu tersebut masih belum dapat dikenal pasti,” katanya.

Kakak Yang turut memaklumkan bahawa yang adiknya pernah memberitahu keluarga yang perjalanan itu dibuat atas urusan syarikat.

Namun, apabila pihak keluarga menghubungi syarikat berkenaan untuk pengesahan, mereka dimaklumkan bahawa tiada rakan sekerja yang pergi bersama Yang.

Laporan polis telah dibuat pada 21 Disember dan keluarga Yang kini mendapatkan bantuan daripada Kementerian Dalam Negeri.

Menurut kakaknya, Yang tidak menunjukkan sebarang tanda kebimbangan sebelum kehilangannya.

Related post

Leave a Reply