Tawar Perkhidmatan Haram Di KLIA2, Pemandu ‘Teksi Sapu’ Berdepan Denda RM50,000 Atau Penjara

Tawar Perkhidmatan Haram Di KLIA2, Pemandu ‘Teksi Sapu’ Berdepan Denda RM50,000 Atau Penjara

Seorang lelaki 59 tahun ditahan dan sebuah Toyota Vios miliknya disita selepas dia didapati cuba menawarkan perkhidmatan pengangkutan haram kepada tiga penumpang warga Malaysia di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2).

Dalam satu kenyataan di Facebook, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan bahawa penahanan itu dibuat hasil operasi risikan di terminal berkenaan.

Pemandu tidak berlesen itu telah menghampiri penumpang dan menawarkan perkhidmatan menghantar mereka ke Ibu Pejabat Polis Sri Hartamas di Kuala Lumpur dengan kadar tambang rata RM120, yang akan dibayar selepas tiba di destinasi.

JPJ berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang melarang mana-mana individu menawarkan perkhidmatan pengangkutan tanpa lesen sah.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh berdepan:
Denda sehingga RM50,000, atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali

Mereka yang bersubahat atau membantu pemandu haram juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 243(1) akta sama.

JPJ mengesahkan bahawa Toyota Vios dan pemandunya telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Agensi itu turut mengulangi peringatan kepada orang ramai agar tidak menggunakan khidmat “kereta sapu” di lapangan terbang, sebaliknya menggunakan kaunter pengangkutan rasmi di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA, atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing berlesen.

Orang awam yang ingin melaporkan kejadian serupa boleh menghubungi JPJ melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.myatau membuat aduan melalui platform e-Aduan@JPJ.

Related post

Leave a Reply