
Sebuah syarikat firma pelaburan Jepun di Taiwan, Nomura Holdings mencuri perhatian warga internet apabila menghadiahkan semua kakitangan syarikat dengan iPhone 17 Pro Max dalam sebuah majlis baru-baru ini.
Perkara tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna Threads.
Menurut pengguna media sosial berkenaan, setiap individu menerima sebuah iPhone 17 Pro Max tanpa perlu melalui sebarang sesi cabutan bertuah.
Difahamkan, iPhone tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan cemerlang para kakitangan.
Menurut laporan Cava, hadiah daripada Nomura itu sebagai pengiktirafan terhadap pertumbuhan rekod syarikat di pasaran saham Taiwan, serta keuntungan industri pelaburan secara keseluruhan pada tahun 2025.
Susulan prestasi memberangsangkan itu, pihak syarikat memutuskan untuk memberi ganjaran kepada pekerja atas usaha keras mereka.
Nomura Holdings telah beroperasi di Taiwan selama lebih 25 tahun sejak ditubuhkan di negara itu pada 1998.
Dengan modal berjumlah NT$345 juta (RM44.1 juta), syarikat tersebut kini berada dalam kelompok lima firma pelaburan asing teratas di Taiwan.
Majlis makan malam akhir tahun itu menampilkan antara 20 hingga 30 meja, dengan kehadiran kira-kira 300 pekerja.
Pengguna Threads tersebut, yang bukan pekerja Nomura tetapi bertugas di lokasi majlis, berkata, ia merupakan hadiah majlis akhir tahun paling luar biasa pernah disaksikannya.
Dalam satu lagi gambar yang dikongsi oleh pengguna lain, kelihatan para pekerja di meja masing-masing teruja dengan pengumuman itu, sambil mengangkat telefon untuk merakam detik berkenaan.
Di ruangan komen, ramai meluahkan rasa kagum dan cemburu, malah ada yang bertanya sama ada syarikat itu masih mengambil pekerja.



