Taecyeon 2PM Kahwin Pada Musim Bunga Tahun Depan, Adakan Majlis Tertutup Khas Untuk Keluarga & Rakan Terdekat

Taecyeon 2PM Kahwin Pada Musim Bunga Tahun Depan, Adakan Majlis Tertutup Khas Untuk Keluarga & Rakan Terdekat

Penyanyi dan pelakon Ok Taecyeon, secara rasmi mengumumkan bahawa dia bakal mendirikan rumah tangga melalui sepucuk surat tulisan tangan yang dimuat naik di laman sosial baru-baru ini.

Pengumuman tersebut hadir sembilan bulan selepas laporan mendakwa anggota kumpulan 2PM itu melamar kekasihnya di hadapan Menara Eiffel di Paris.

Menerusi kenyataan yang diterbitkan oleh agensi Taecyeon, 51K, majlis perkahwinannya akan diadakan secara tertutup di Seoul pada musim bunga tahun depan.

“Pelakon Ok Taecyeon telah berjanji untuk menghabiskan sisa hidupnya bersama seseorang yang telah lama menjadi pasangannya. Majlis perkahwinan akan diadakan secara tertutup di Seoul pada musim bunga akan datang, dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat sahaja.

“Oleh kerana tunangnya bukan selebriti, kami memohon agar maklumat lanjut tidak didedahkan kepada umum,” tulis agensi 51K.

Terdahulu, Taecyeon menerusi suratnya berkata, dia mahu menghabiskan hidupnya bersama wanita yang berada di sisinya sejak sekian lama.

“Saya telah membuat keputusan untuk menghabiskan hidup bersama seseorang yang telah memahami dan mempercayai saya sejak sekian lama. Kami akan terus berjalan bersama, saling menyokong antara satu sama lain.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya. Kasih sayang dan dorongan anda telah memberi saya kekuatan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

“Saya akan terus berusaha sebaik mungkin untuk membalas kepercayaan dan kasih sayang anda sebagai ahli 2PM, sebagai pelakon, dan sebagai Taecyeon anda,” katanya.

Taecyeon mengesahkan hubungan cintanya pada tahun 2020. Berita itu juga mencetuskan semula minat terhadap khabar angin perkahwinannya yang mula tersebar Februari lalu, apabila beberapa foto menunjukkan dia sedang melamar kekasihnya di hadapan Menara Eiffel, mencetuskan spekulasi bahawa majlis perkahwinan akan berlangsung tidak lama lagi.

Selain itu, pada hujung tahun lalu, portal hiburan OSEN turut melaporkan bahawa Taecyeon dan tunangnya dilihat keluar bertemu janji berhampiran Stesen Apgujeong Rodeo di Seoul.

Pasangan itu dilihat berjalan berpegangan tangan di kawasan Sinsa-dong pada musim sejuk, tanpa menghiraukan pandangan orang ramai yang mengenali mereka.

Penampilan mesra mereka ketika itu menguatkan lagi desas-desus tentang perkahwinan yang bakal berlangsung. Namun, agensinya ketika itu menafikan khabar angin tersebut dan menjelaskan bahawa foto lamaran yang tular itu hanyalah gambar sambutan hari lahir kekasihnya, bukan majlis lamaran rasmi.

Kini, sembilan bulan kemudian, pengumuman rasmi perkahwinan Taecyeon disambut dengan ucapan tahniah hangat daripada para peminat dan orang ramai.

Taecyeon debut bersama 2PM pada tahun 2008 dan sejak itu membina kerjaya cemerlang sebagai penyanyi serta pelakon. Dia kini menjadi ahli kedua kumpulan tersebut yang berkahwin selepas Hwang Chansung pada tahun 2022.

Sumber: Allkpop

Related post

Leave a Reply