“Soalan Pertama Ditanya, Saya Gemuk Atau Kurus?”

“Soalan Pertama Ditanya, Saya Gemuk Atau Kurus?”

Pelakon, Shahz Jaszle, 37, tidak menafikan realiti industri hiburan di Malaysia masih meletakkan penampilan fizikal sebagai keutamaan, sehingga rupa paras dan bentuk badan sering dinilai terlebih dahulu sebelum bakat lakonan.

Menurut Shahz, perkara itu bukan sekadar persepsi, sebaliknya realiti yang telah dilaluinya sendiri sepanjang hampir dua dekad bergelar anak seni.

Katanya, dalam kebanyakan situasi, fizikal menjadi ‘tapisan awal’ sebelum produksi mempertimbangkan aspek lain seperti kesesuaian watak dan kemampuan lakonan seseorang pelakon.

“Realitinya, dalam industri hiburan di Malaysia, orang tengok muka dulu. Itu yang pertama. Bukan bakat, bukan watak, tapi rupa,” katanya.

Shahz mendedahkan dia sendiri pernah melalui fasa sukar apabila berat badannya meningkat, sekali gus memberi kesan besar terhadap tawaran lakonan yang diterimanya.

“Saya sendiri pernah melalui fasa di mana berat badan naik dan secara automatik tawaran lakonan berkurang. Soalan pertama yang produksi tanya bukan jadual saya, tetapi saya gemuk atau kurus,” kongsinya.

Tambah Shahz, situasi tersebut amat menyakitkan kerana sebagai pelakon, dia mahu kebolehan lakonan dinilai, namun realitinya fizikal masih menjadi penentu utama.

Aktor itu turut menjelaskan industri tempatan jarang memberi peluang kepada pelakon untuk membawa watak yang menuntut perubahan fizikal ekstrem, berbeza dengan industri luar negara yang lebih meraikan kepelbagaian karakter.

“Di Malaysia, watak hero selalunya perlu nampak kemas, kurus dan segak. Kalau badan berisi sedikit, terus dianggap tak sesuai. Kita jarang dapat watak yang membenarkan pelakon ‘lari’ daripada standard rupa yang sama,” jelasnya.

Pengalaman paling ketara dirasai Shahz apabila dia mula kehilangan watak hero dan pemain utama, sebaliknya hanya ditawarkan karakter sampingan ketika berat badannya meningkat.

“Waktu itu, saya sedar betapa besarnya pengaruh fizikal dalam industri ini. Saya tak lagi dapat watak hero, malah watak kelas kedua pun susah. Yang datang hanyalah watak abang-abang atau watak sampingan,” katanya.

Pengalaman tersebut membuka mata Shahz tentang realiti sebenar industri, sekali gus mendorongnya kembali memberi fokus terhadap penjagaan badan demi kelangsungan kerjaya, walaupun mengakui bukan sesuatu yang mudah.

“Diet ini sangat meletihkan. Kita kena kawal minyak, kawal gula, sedangkan orang sekeliling bebas makan. Tambah pula bila dikelilingi ahli keluarga yang boleh makan apa sahaja tanpa naik berat badan,” katanya sambil mendedahkan kos makanan diet mencecah lebih RM2,000 sebulan.

Dalam masa sama, Shahz berkata usaha untuk kekal kurus juga sering disalah tafsir, malah pelakon yang terlalu kurus atau terlalu sasa mudah dilabel dan terperangkap dengan stereotaip tertentu.

“Bila badan berisi, orang kata tak jaga diri. Bila kurus, orang kata ambil dadah. Kalau badan terlalu ‘sado’ pula, orang hanya nampak kita sesuai bawa watak gangster atau watak keras. Nak jadi pelakon versatil jadi susah,” katanya lagi.

Related post

Leave a Reply