Skandal Kewangan HYBE: Bang Si Hyuk Disoal Polis Kali Kedua
Pengerusi HYBE, Bang Si Hyuk, kini sedang menjalani pusingan kedua siasatan polis berhubung dakwaan salah laku kewangan.
Pada 5 November, Bang hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Kewangan Agensi Polis Metropolitan Seoul, di daerah Mapo, untuk disoal siasat sejak awal pagi.
Bang disyaki telah mengelirukan para pemegang saham HYBE pada tahun 2019 apabila mendakwa syarikat tersebut tiada rancangan untuk disenaraikan di pasaran saham, sedangkan beliau didakwa mengatur satu dana ekuiti persendirian (private equity fund) yang mempunyai kaitan dengannya untuk membeli saham daripada para pemegang saham tersebut.
Siasatan awal mendapati HYBE ketika itu sudah pun bersiap sedia untuk disenaraikan di pasaran saham, dan pihak penyiasat kini sedang meneliti sama ada Bang memperoleh keuntungan tidak sah yang dianggarkan sekitar 190 bilion won (RM600 juta) melalui dana tersebut selepas penyenaraian rasmi syarikat.
Di bawah Akta Pasaran Modal Korea Selatan, adalah menyalahi undang-undang untuk memperoleh keuntungan harta melalui penipuan atau memanipulasi skim pelaburan melibatkan saham yang belum disenaraikan.
Bagaimanapun, wakil Bang Si Hyuk menegaskan bahawa semua prosedur yang dilakukan ketika penyenaraian HYBE telah mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa pada masa itu.
