
Siti Saleha Banyak Bersenam Untuk Mudahkan Proses Bersalin
Pelakon, Siti Saleha, 35, yang kini memasuki trimester ketiga kehamilan mengakui masih belum membuat sebarang persiapan untuk menyambut kelahiran cahaya mata sulungnya.
Kata pemilik nama lengkap Siti Saleha Mohd Baharum, buat masa ini dia lebih menumpukan perhatian kepada penjagaan kesihatan tubuh agar proses bersalin berjalan lancar.
“Saya belum beli apa-apa lagi. Sejak habis penggambaran dua bulan lalu, saya banyak berjalan dan bersenam. Minggu ini pula saya akan ke Paris.
“Saya hanya buat persediaan supaya badan lebih aktif. Senaman pun lebih kepada memudahkan proses melahirkan. Lagipun sebelum hamil saya memang aktif, jadi tak mahu hilang momentum,” katanya.
Bercerita lanjut, aktres itu berkata dia bakal mengadakan majlis ‘gender reveal’ tidak lama lagi. Istimewanya, majlis tersebut akan digabungkan dengan tradisi mitoni, iaitu adat masyarakat Jawa bagi meraikan kehamilan.
“Bulan depan saya akan buat gender reveal sekali dengan mitoni sebab keluarga suami berketurunan Jawa. Nanti saya akan kongsi dalam media sosial mengenai jantina anak, tapi buat masa sekarang saya rahsiakan dulu,” jelasnya.
Berkongsi pengalaman kehamilan, Saleha berkata emosinya tidak banyak berubah terhadap suami, Joshua Fitton, namun sesekali mudah meluahkan rasa kepada pengurusnya.
“Emosi saya dengan suami masih sama, tak banyak berubah. Tapi dengan pengurus, kalau ada benda kecil yang merimaskan, saya cepat luahkan.
“Perubahan bentuk badan memang ketara, cuma saya tak mahu terlalu obses dengan angka di penimbang. Alhamdulillah, setakat ini berat saya dan bayi stabil, doktor pun kata semuanya baik,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Saleha dan Joshua yang juga seorang pereka fesyen selamat disatukan dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada Februari lalu.