Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendoakan keadilan terhadap allahyarham Zara Qairina yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I.
Selain itu, menerusi dua Instagram Story yang dimuat naik, Siti turut menulis kapsyen yang merujuk kepada beberapa jenis buli yang patut dipandang serius dan dibenteras daripada terus berlaku.
“Moga ada keadilan buat arwah adik Zara #JusticeForZaraQairina.
“Buli lisan, fizikal dan siber sama-sama harus kita benteras. Korban jiwa dan nyawa sekarang sangat berleluasa.
“Semoga budaya buli ini tidak menjadi amalan dan kebiasaan kita,” tulisnya.

Kematian tragis remaja itu mencetuskan gelombang simpati dan kemarahan rakyat, terutama selepas dikaitkan dengan dakwaan buli di sekolah terbabit.
Tanda pagar #JusticeForZara digunakan secara meluas di media sosial sebagai solidariti menuntut keadilan dan siasatan telus.
Sumber: Instagram