
Siti Nurhaliza Dinobat Legenda Muzik Asia Tenggara Oleh SeaAsia Stats
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi nombor satu negara apabila diiktiraf sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara oleh agensi antarabangsa, SeaAsia Stats.
Pengiktirafan tersebut diumumkan menerusi laman Instagram rasmi agensi berkenaan sebagai penghargaan terhadap pencapaiannya yang meraih lebih 300 anugerah sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni.
“Saya pun baru tahu. Alhamdulillah, terima kasih. Saya sendiri tidak pernah terfikir kerana sibuk dengan kerja, tetapi apabila ada pihak yang menghargai, saya sangat bersyukur. Saya bekerja selama ini kerana cinta dan minat saya terhadap muzik,” katanya.
Menurut SeaAsia Stats, pengiktirafan diberikan kerana Siti terus mengekalkan relevansi dan populariti sebagai artis Malaysia yang masih bertahan hingga kini.
Malah, rekod pencapaiannya turut diiktiraf dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2001.
Siti juga pernah disenaraikan di tangga ke-27 daripada 100 penghibur dunia yang menerima anugerah terbanyak.
Namun begitu, Siti menegaskan pencapaian itu tidak mengubah fokusnya dalam berkarya.
“Menang anugerah atau tidak, saya akan tetap lakukan yang terbaik. Saya berkarya bukan semata-mata kerana anugerah, tetapi kerana cinta terhadap seni.
“Kini saya berada dalam fasa memberi semula kepada masyarakat melalui apa yang saya lakukan. Apa yang penting, saya teruskan usaha yang baik kerana sudah menjadi tugas saya untuk membahagiakan orang,” jelasnya.
Tahun lalu, Siti turut menerima Anugerah Khas Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).