Siti Nurhaliza Amalkan Zikir Bismillah 5, Ikhtiar Dari Perkara Negatif

Siti Nurhaliza Amalkan Zikir Bismillah 5, Ikhtiar Dari Perkara Negatif

Sebagai ikhtiar rohani untuk memohon perlindungan Allah daripada sebarang unsur negatif, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan dirinya sentiasa mengamalkan zikir Bismillah 5.

Siti berkata, amalan itu mula diamalkannya sejak mengandung anak sulung, Siti Aafiyah kira-kira tujuh tahun lalu hasil tunjuk ajar ibunya, Siti Salmah Bachik.

“Saya amalkan Bismillah 5 sejak hamil anak pertama. Emak yang ajar saya dan sejak itu saya teruskan hingga hari ini.

“Zikir ini bukan hanya untuk anak-anak, tapi juga buat kita sebagai pelindung diri.

“Saya juga sering membaca selawat serta doa pelindung seperti tiga qul.

“Emak selalu pesan, bila dah ada anak, amalkan juga Bismillah 5 sebagai benteng diri daripada perkara yang tak diingini,” katanya.

Sebelum ini, tular kisah anak saudaranya, Amad Dayyan yang mengalami masalah kesihatan dipercayai akibat gangguan mistik ketika menyertai sebuah program realiti.

Rentetan kejadian itu, Siti sempat berkongsi bacaan zikir Bismillah 5 di Instagram Story, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengikutnya.

Mengulas lanjut, Siti berkata, ibunya sering mengingatkan seluruh ahli keluarga terutama yang bergiat dalam dunia hiburan agar sentiasa berhati-hati dan tidak meninggalkan amalan zikir pelindung.

“Dalam kumpulan WhatsApp keluarga, emak selalu pesan supaya kami yang bergiat dalam industri hiburan berhati-hati.

“Dunia seni ni terbuka luas, jadi kadang-kadang kita tak sedar bila terleka atau tersilap kata. Sebab itu emak pesan supaya amalkan zikir pelindung,” ujarnya.

Mengulas mengenai kejadian yang menimpa Amad, Siti memilih untuk tidak memperbesarkan isu tersebut dan menganggap sekadar pengalaman yang boleh dijadikan pengajaran.

“Itu semua sudah berlalu. Saya tak mahu memanjangkan cerita. Bagi saya, ia sebahagian daripada perjalanan hidup sebagai anak seni ada naik turunnya.

“Paling penting, jadikan pengalaman itu pengajaran untuk lebih berhati-hati,” katanya tenang.

Dalam perkembangan lain, Siti kini muncul dengan album tradisional terbaharu bertajuk Gema Bumantara, sebuah karya yang menonjolkan keindahan muzik warisan Melayu dalam gaya yang segar dan penuh nilai budaya.

Related post

Leave a Reply