Sissy Iman Kini Isteri Doktor, Terima Nombor Plat Khas “SIS5795” Sebagai Hantaran
Penyanyi, Sissy Imann, selamat bergelar isteri kepada pilihan hatinya, Dr. Zamir Hilman Dr. Hamzah dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung pada jam 9.00 pagi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Majlis dimulakan dengan acara pertunangan, di mana pihak lelaki membawa satu dulang hantaran yang dibalas tiga dulang daripada pihak perempuan.
Sissy turut menerima tiga bentuk cincin berlian sebagai simbol ikatan pertunangan.
Penyanyi itu dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohammad Kamil Mustaffa, disaksikan ahli keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat kedua-dua mempelai.
Sebagai mas kahwin, Sissy menerima seutas gelang emas bernilai RM6,840.
Pertukaran hantaran turut dilangsungkan mengikut adat, dengan tiga dulang daripada pihak Sissy dibalas lima dulang daripada pihak lelaki.
Antara hantaran yang paling mencuri perhatian ialah nombor plat khas “SIS5795” gabungan nama Sissy dan tahun kelahirannya, 1995.
Namun, jenis kenderaan yang bakal menggunakan nombor plat tersebut masih dirahsiakan.
Turut menarik perhatian ialah hadiah percutian bulan madu ke Rome, Itali, sebagai simbol permulaan kehidupan berumah tangga pasangan itu.
Jumlah wang hantaran pula tidak didedahkan atas permintaan keluarga.
Hubungan Sissy dan Dr. Zamir bermula secara kebetulan apabila doktor berkenaan pernah merawat penyanyi itu pada awal tahun 2025.
Pada ketika itu, Dr. Zamir tidak menyedari bahawa Sissy ialah seorang selebriti kerana dia jarang menonton televisyen dan tidak mengikuti perkembangan dunia hiburan.
Pertemuan ringkas itu akhirnya berkembang menjadi persahabatan rapat sebelum membawa kepada hubungan cinta.
Sissy sebelum ini mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang dalam satu sesi bertemu media sempena pelancaran single terbaharunya berjudul Dengan Kamu pada 1 Disember lalu.
