Silap Hantar Kategori Punca Lagu ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ Gagal Bolos Top 5 AIM 24
Kesilapan teknikal syarikat rakaman menghantar pencalonan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari dalam kategori yang tidak tepat menjadi sebab karya tersebut gagal mara ke senarai Top 5 Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM 24).
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim, menjelaskan pihak syarikat rakaman berusaha membuat rayuan dengan menghantar semula penyertaan, namun malangnya proses penjurian telah ditutup.
“Oleh kerana penjurian sudah selesai, adalah mustahil untuk kami memanggil semula semua juri hanya untuk menilai sebuah lagu. Jawatankuasa AIM 24 perlu berpegang pada syarat pertandingan demi memastikan keadilan kepada semua syarikat rakaman,” katanya pada sidang media AIM 24 baru-baru ini.
Menurut Rosmin, keputusan itu terpaksa diambil kerana penganjur tidak mahu dilihat berat sebelah atau tidak telus.
Tambahnya, pihak penganjur sebenarnya sudah memaklumkan kategori yang lebih sesuai untuk lagu itu iaitu Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik memandangkan lagu tersebut dicipta komposer Indonesia, Ilham Baso.
Sebelum ini, Ara Johari meluahkan rasa kecewa apabila hasratnya untuk melihat lagu Menjaga Jodoh Orang Lain bersaing di pentas berprestij AIM tidak kesampaian selepas gagal tersenarai dalam kelompok utama.
Dalam perkembangan lain, Rosmin turut berkongsi persiapan AIM 24 kini giat dijalankan dan acara gilang-gemilang itu akan disiarkan secara langsung dari Arena of Stars, Genting Highlands menerusi TV2 pada 13 September ini.
