Shukri Yahaya Tak Bangga Dilabel Lelaki Setia
Pelakon, Shukri Yahaya, 37, enggan lagi melakukan babak bersentuhan dengan pelakon wanita dalam mana-mana naskhah yang dibintangi.
Berharap terus istiqamah dengan niat baiknya itu, Shukri berkata, perkara tersebut dibuat demi menjaga perasaan isterinya, Tya Adnan, lebih-lebih lagi wanita itu kini sudah berniqab.
“Sekarang saya dah tak lakukan babak bersentuhan atau berpegang tangan dengan pelakon wanita.
“Saya berharap dapat terus istiqamah dengan perkara itu bagi menjaga hati serta perasaan isteri dan keluarga. Doakan saya,” kongsinya.
Dalam masa sama, pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga turut mengulas mengenai pujian diberikan segelintir wargamaya yang melabelnya sebagai lelaki setia dan suami contoh.
Enggan terlalu hanyut dengan pujian diberikan, Shukri berkata, dia sentiasa berpesan kepada diri sendiri untuk menjaga nama baik keluarga dan memikirkan tentang sebarang implikasi jika melakukan perkara tidak elok.
“Jika ada yang label saya sebagai lelaki setia, saya tak pernah rasa bangga pun.
“Saya sentiasa semat dalam kepala, apa sahaja yang ingin dilakukan kena ingat kesannya kepada isteri dan keluarga,” tambahnya lagi.