Sherry Alhadad Tolak Tawaran Pembedahan Bariatrik

Meskipun sering menerima tawaran untuk menjalani pembedahan bariatrik bagi mendapatkan bentuk badan yang lebih langsing, pengacara dan pelakon, Sherry Alhadad kekal dengan pendirian untuk menurunkan berat secara semula jadi.

Pemilik nama lengkap Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, mengakui belum bersedia untuk melalui prosedur tersebut walaupun ada pihak tertentu, termasuk doktor yang menawarkan perkhidmatan itu kepadanya secara profesional.

“Memang ada yang tawarkan untuk buat pembedahan, termasuk beberapa doktor. Tapi saya tolak dengan baik sebab saya rasa belum sampai masanya. Hati pun belum terbuka lagi,” katanya.

Menurut Sherry lagi, dia tidak melihat keperluan untuk melakukan pembedahan semata-mata demi mencapai bentuk tubuh yang ideal, lebih-lebih lagi apabila masih mampu berusaha melalui senaman dan kawalan pemakanan.

Walaupun begitu, selebriti berusia 40 tahun itu mengakui proses menurunkan berat badan secara organik bukanlah sesuatu yang mudah.

Malah, dia menyifatkan dirinya tergolong dalam ‘kategori yoyo’ kerana berat badan yang sering turun dan naik secara tidak konsisten.

“Siapa yang pernah cuba turunkan berat badan, mesti tahu betapa susahnya nak kekal konsisten. Saya dah cuba macam-macam cara. Kadang-kadang turun, kadang naik balik. Memang mencabar,” katanya lagi.

Tambah Sherry, aspek mental dan emosi menjadi cabaran terbesar dalam proses penurunan berat badan kerana boleh mempengaruhi tahap motivasi seseorang secara langsung.

“Selalunya bila saya dah kuat semangat, tiba-tiba jadi ‘down’. Sampai satu tahap saya tertanya, sampai bila nak hadap semua ni? Tapi bila berat naik sikit, terus saya sedar dan cuba kawal makan semula,” jelasnya lagi.

Baginya, kunci utama untuk mencapai bentuk badan lebih sihat bukan terletak pada pembedahan semata-mata, tetapi pada disiplin diri dan konsistensi dalam menjaga gaya hidup.

Sherry juga menegaskan apa yang lebih penting adalah kesihatan mental dan keyakinan diri, bukannya persepsi orang terhadap fizikal seseorang.

Related post

Leave a Reply