Setelah Dua Tahun, Joe Flizzow Lancar 501
Setelah dua tahun sepi tanpa sebarang lagu baharu, penyanyi hip hop popular Malaysia, Joe Flizzow kini kembali dengan lagu 501.
Bagai membuka kembali lembaran kerjaya seninya, lagu berkenaan menampilkan refleksi kematangan dan keyakinan terhadap evolusi beliau sebagai seorang artis.
501 ditulis sepenuhnya oleh Joe, dengan gubahan serta penerbitan oleh SonaOne & Gard, menyatukan kembali dua nama besar dalam industri muzik tempatan.
Pelancaran 501 melambangkan kepulangan tepat pada masanya buat Joe Flizzow selepas melalui fasa jeda seni, pertumbuhan peribadi dan penilaian semula secara kreatif.
Lagu ini merakam kejelasan dan kematangan yang diraih sepanjang tempoh tersebut, sekali gus menyampaikan mesej ketahanan diri, keaslian dan keyakinan melalui lirik yang tajam serta produksi moden.
Kolaborasi antara Joe, SonaOne dan Gard memainkan peranan penting dalam membentuk identiti bunyi naskhah ini.
Gabungan produksi kontemporari dengan kekuatan penyampaian unik Joe menghasilkan sebuah karya yang segar, namun masih setia kepada akar muziknya.
Walaupun 501 mengekalkan keyakinan dan kekuatan lirik yang menjadi identiti Joe, karya ini turut menandakan satu evolusi dalam arah seni beliau, lebih menitikberatkan kejujuran, kejelasan dan kebebasan berkarya berbanding mengikut arus semata-mata.

Kisah 501 tidak terhenti pada muzik semata-mata. Video muzik rasmi lagu ini hanya memberikan sedikit gambaran kepada dunia yang lebih gelap, penuh ketegangan, konflik dan emosi yang mendalam.
Dengan visual yang berani, suasana suram serta detik-detik aksi yang mencetus tanda tanya, penonton seolah-olah diajak untuk menyaksikan sendiri keseluruhan jalan ceritanya melalui skrin.
Lebih mengejutkan, video muzik ini ditutup dengan paparan “To Be Continued”, memberi isyarat jelas bahawa ini hanyalah permulaan kepada sebuah naratif yang lebih besar.
Pengakhiran yang tergantung ini turut membayangkan bahawa karya seterusnya daripada Joe Flizzow bakal tiba dalam masa terdekat, sekali gus meningkatkan lagi keterujaan para peminat.
Menerusi pelancaran 501, Joe berhasrat untuk kembali mendekati peminat setia di samping memperkenalkan bunyi baharunya kepada generasi pendengar yang lebih muda.
Single ini dijangka mengukuhkan lagi relevan serta pengaruh beliau dalam arena hip hop serantau.
