Selepas Dikecam, G-Dragon Akui Persembahan Tidak Sempurna

Selepas Dikecam, G-Dragon Akui Persembahan Tidak Sempurna

Penyanyi G-Dragon akhirnya tampil menjawab kritikan berhubung hal yang ‘tidak enak’ berlaku ketika dia menjayakan persembahan di MAMA AWARDS 2025 baru-baru ini.

G-Dragon mengulas mengenai perkara tersebut pada salah satu hentian konsert jelajahnya, G-Dragon 2025 World Tour (Ubermensch) di Gocheok Sky Dome, Seoul, Korea pada 12 Disember lalu.

“Hari ni boleh terjadi kontroversi atau tidak? Jika ada, ia memang mengecewakan. Kalau pun ada sesuatu yang terjadi (ketika persembahan), tolong bersabar dengan saya.

“Saya cuma melakukan apa yang saya (selalu) lakukan dan berusaha sebaik mungkin. Jika anda tidak suka, tak perlu suka,” katanya.

Dalam masa sama, G-Dragon turut menekankan tentang pengalamannya dalam industri yang sudah pun mencapai angka 19 tahun.

“Saya terkejut kerana kontroversi timbul sekarang, sedangkan saya sudah melakukan perkara ini selama 19 tahun,” katanya sambil peminat menjerit ‘sempurna’.

Melihat pada sokongan peminat, G-Dragon membalas: “Oh, ia memang tidak sempurna. Saya juga melalui banyak persembahan yang membuatkan saya rasa kesal.

“Ini bukan soal kesempurnaan, tetapi berusaha setiap hari. Ia bergantung kepada keadaan saya, tetapi hari ini hanya ‘memadai’. Saya boleh beri tanda ‘like’,” katanya lagi.

Sebelum ini, G-Dragon berdepan kecaman susulan beberapa isu persembahan secara langsung yang berlaku secara berturut-turut.

G-Dragon mula menerima kecaman menerusi persembahan hujung tahun SBS Gayo Daejeon tahun lalu. Anggota kumpulan Bing Bang itu dikritik kerana tempo nyanyian tidak seiring dan sebutan lirik yang sukar difahami akibat gaya vokalnya yang serak.

Pada konsert solonya di Goyang pada Mac lalu, G-Dragon turut mengecewakan peminat apabila konsert bermula lewat 74 minit dan beberapa bahagian lagu dilangkau selepas persembahan dimulakan.

Terbaharu, pada acara MAMA AWARDS 2025, G-Dragon dikritik kerana persembahannya dikatakan terlalu bergantung pada AR (vokal rakaman awal) sehingga suara sebenar tidak kedengaran.

Malah dia dilihat menari dengan mikrofon tanpa menyanyi secara langsung untuk tempoh yang panjang.

Sumber: Allkpop

Related post

Leave a Reply