“Selepas Awak Pergi, Ramai Bercerita Tentang Kebaikan & Pengorbanan Awak Lakukan”
Pelakon, Zizie Ezette, 47, berkongsi luahan hati penuh rasa syukur dan rindu terhadap arwah suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia pada Jumaat lalu.
Menurut Zizie, nasihat dan kebaikan yang pernah ditinggalkan arwah adalah antara memori paling berharga yang tidak akan sesekali dilupakan.
Katanya, arwah sering mengingatkannya tentang keikhlasan dalam berbuat kebaikan dan pesan yang kini menjadi pegangan hidupnya.
“Saya tak akan lupa pesan awak, jika tangan kanan memberi, tangan kiri tak perlu tahu. Sembunyikan kebaikan itu, biarlah Allah saja yang mengetahuinya,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram Story.
Katanya lagi, sepanjang hidup bersama, arwah Bung Moktar tidak pernah melakukan sesuatu untuk mencari pujian. Setiap kebaikan dilakukan dengan hati yang tulus.
“Awak tak pernah mahu pengiktirafan, semuanya awak lakukan dari hati. Terima kasih atas segala kebaikan yang awak curahkan.
“Saya akan simpan, hargai dan turunkan kepada anak-anak supaya sebahagian daripada awak tetap hidup bersama kami,” kongsinya lagi.
Zizie menambah, biarpun suami tercinta kini tiada, jasa dan pengorbanan arwah masih menjadi sebutan ramai yang pernah mengenalinya.
“Selepas awak pergi, barulah ramai mula bercerita tentang kebaikan, pengorbanan dan semua perkara baik yang awak lakukan. Terima kasih untuk 16 tahun ini.
“Awak bekerja keras untuk semua orang, sentiasa berjuang untuk mereka di sekeliling awak, bukan untuk diri sendiri. Awak memang tidak pernah mementingkan diri,” jelasnya lagi.
Zizie turut mendoakan agar roh arwah suaminya ditempatkan di tempat yang sebaik-baiknya.
“Semoga Allah mengampuni dan merahmatimu serta menempatkanmu dalam kalangan orang yang sejahtera di Jannah,” tulisnya sambil menyertakan emoji hati putih.
Untuk info, allahyarham Datuk Seri Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, menghembuskan nafas terakhir pada 5 Disember lalu di sebuah hospital di Kota Kinabalu akibat kegagalan buah pinggang serta jangkitan kuman pada paru-paru.
Untuk rekod, Zizie dan arwah mendirikan rumah tangga pada 2009 dan dikurniakan empat cahaya mata.
