Selalu ‘Support’ BTS, Pengkritik Muzik Korea Kim Young Dae Meninggal Dunia Pada Malam Krismas
Pengkritik muzik terkenal, Kim Young Dae, telah meninggal dunia pada malam Krismas. Mendiang berusia 48 tahun. Punca kematian bagaimanapun tidak didedahkan.
Pada 25 Disember waktu Korea Selatan, keluarga Kim Young Dae memaklumkan berita pemergian mendiang menerusi akaun media sosial miliknya.
“Kami dengan rendah hati ingin menyampaikan berita bahawa Kim Young Dae telah meninggal dunia.
“Kami memohon maaf kerana beliau tidak dapat mengucapkan selamat tinggal kepada semua secara peribadi,” tulis keluarga Young Dae.
Kim Young Dae merupakan antara pengkritik dan penganalisis K-Pop paling berpengaruh di Korea Selatan.
Dia memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang etnomuzikologi dari University of Washington.
Dia dikenali sebagai pakar global mengenai kumpulan BTS dan merupakan penulis buku analisis kritikal BTS: The Review.
Kim Young Dae turut aktif menyumbang pandangan mengenai industri K-Pop di media antarabangsa seperti Vulture, MTV, dan beberapa platform lain.
Sumber: Allkpop
