Sekali Lafaz, Erra Fazira Selamat Bernikah Dengan Ezwan

Sekali Lafaz, Erra Fazira Selamat Bernikah Dengan Ezwan

Hanya dengan sekali lafaz, primadona, Erra Fazira, 51, selamat bergelar isteri kepada pilihan hatinya, Ezwan Zain, 44, selepas pasangan itu diijabkabulkan tepat jam 9.20 pagi Jumaat, 12 Disember 2025.

Upacara akad nikah disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor, Mohd Sabirin Noordin.

Erra menerima sepokok bunga emas seberat 102 gram sebagai mas kahwin, selain sebentuk cincin Cartier pada sesi membatalkan air sembahyang.

Hantaran pihak lelaki pula merangkumi sepersalinan emas yang ditempatkan dalam satu talam khas yang ditandu, simbolik penyatuan dua hati.

Tidak mampu menahan air mata, pelantun lagu Pasrah itu kelihatan sebak sebaik sahaja sah menjadi suri hidup Ezwan atau lebih mesra digelar Mr. E.

Majlis penuh intim itu berlangsung dalam suasana serba indah di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, disaksikan keluarga terdekat dan sahabat rapat kedua-dua mempelai.

Turut hadir ialah anak perempuan Erra, Engku Aleesya, hasil perkahwinan terdahulu bersama Engku Emran dan Sofia, anak gadis Ezwan yang berada di sisi untuk merestui pernikahan baharu bapanya.

Bersempena majlis pernikahan yang bertema serba putih, ruang acara dihiasi konsep taman kontemporari dengan hamparan bebunga putih yang menambah seri hari bersejarah pasangan tersebut.

Terdahulu, Erra menamatkan spekulasi mengenai perkahwinannya tahun ini ketika menghadiri pelancaran video muzik Cinta Abadi 2025, sebelum akhirnya detik yang dinanti itu menjadi kenyataan.

Related post

Leave a Reply