“Saya Tidak Akan Bertolak Ansur Dengan Manusia Biadab”
Penyanyi, Elyana, 40, meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir individu di media sosial yang didakwa kerap melemparkan kata-kata kesat, terutama ketika dia kembali menjalani rawatan kemoterapi.
Pemilik nama lengkap Erneelya Elyana Emrizal, berkata kesabarannya kini sampai ke tahap maksimum dan dia tidak lagi mampu berdiam diri berdepan sikap kurang ajar sesetengah netizen yang hanya berani berselindung di sebalik akaun maya.
“Maaf, saya tak kacau orang dan memang tak suka biadab dengan sesiapa. Mulai hari ini, saya tidak akan bertolak-ansur dengan manusia biadab.
“Lepas ini, sesiapa yang berani bersikap pengecut, saya akan dedahkan wajah mereka di sini. Win-win situation,” katanya dalam sebuah hantaran.
Difahamkan, luahan itu dibuat susulan komen seorang pengguna media sosial yang mempersoalkan penampilan Elyana ketika ini, sekali gus mencetuskan rasa terkilan dalam kalangan peminat.
Menurut pelantun lagu Kalis Rindu itu, perkongsiannya mengenai keadaan kesihatan dan sel kanser yang kembali merebak bukanlah bertujuan untuk meraih simpati orang ramai, sebaliknya sekadar berkongsi perkembangan diri.
“Selama 15 tahun saya sakit, tak pernah sekali pun menyusahkan orang. Saya hadap semuanya seorang diri.
“Saya seorang pesakit yang masih boleh membantu orang lain ketika sakit. Malah orang yang sihat pun saya tolong tanpa fikirkan diri sendiri.
“Jadi saya sangat terkesan bila ada yang kata saya minta simpati. Tolong hentikan,” ujarnya lagi.
Dalam hantaran lain, Elyana turut meluahkan rasa kesal terhadap individu yang merasakan diri mereka paling suci sehingga sanggup menghina dan menjadikan orang lain bahan ejekan.
“Mungkin saya belum sebaik atau sesuci kalian, tapi itu tak menghalalkan cara kalian yang biadab.
“Saya tahu ada yang rasa diri terpaling betul sampai menghina dan mentertawakan orang lain. Hati-hati, jangan terlalu yakin sampai akhirnya makan diri sendiri,” katanya.
Elyana turut mengingatkan orang ramai supaya lebih menjaga tutur kata dan tingkah laku kerana tidak semua orang mampu melalui ujian hidup yang berat seperti yang dialaminya.
“Saya dah rasa betapa sakitnya proses hidup ini. Saya takut kalau kalian berada di tempat saya, kalian mungkin tak mampu hadapinya. Jadi jagalah hati, lidah dan jari,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Elyana mendedahkan kembali menjalani rawatan kemoterapi sehingga mengalami keguguran rambut.
Elyana sebelum ini menghidap barah limfoma tahap empat sejak 2010 dan disahkan bebas daripada sel kanser pada 2021.
