“Saya Nak Jadi Seorang Ibu”
Selepas hampir lapan tahun berkahwin, penyanyi dan komposer, Yuna, 39, mengakui salah satu impian dalam hidupnya adalah untuk bergelar seorang ibu.
Pemilik nama sebenar Yunalis Mat Zara’ai, berkata dirinya kini sudah benar-benar bersedia untuk memiliki keluarga sendiri.
“Memang nak ada keluarga (anak) sendiri, itu antara matlamat hidup saya. Bila usia makin meningkat, saya sudah mula rasa sakit belakang. Jadi kenalah jaga diri dengan berdiet dan bersenam,” ujarnya.
Ketika ditanya tentang kemungkinan menggunakan rawatan moden seperti In-Vitro Fertilisation (IVF), Yuna enggan mengulas lanjut kerana menganggap ia terlalu peribadi.
“Percayalah, kami berdua sedang mencuba (mendapatkan anak). Saya memang nak jadi seorang ibu dan merancang untuk ke arah itu.
“Bagaimana cara untuk kami mempunyai anak, kami biarkan semua itu dilakukan secara privasi,” kata Yuna lagi.
Kini kembali menetap di Malaysia, Yuna berkata dia berada pada fasa hidup yang lebih stabil dan menyerahkan urusan rezeki zuriat sepenuhnya kepada Allah.
“Sekarang kami berada di tempat yang betul, dah pulang ke Malaysia. Keluarga pun sangat menyokong. Cuma belum ada rezeki lagi, doakan untuk saya,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Yuna dan Adam Sinclair diijabkabulkan pada 26 Januari 2018 dalam sebuah majlis tertutup di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.
Dalam perkembangan lain, Yuna bakal menganjurkan konsert The Valour Hour di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Februari tahun depan.
