‘Saya Datang Ke Majlis KKM Sebagai Tetamu, Bukan Artis’ – Siti Nurhaliza
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, menafikan menerima bayaran sewaktu membuat persembahan di majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada Selasa.
Siti menegaskan, kehadirannya di acara tersebut hanya sebagai tetamu dan melakukan persembahan dengan sukarela sebagai bentuk penghargaan buat kementerian tersebut.
“Saya datang ke majlis KKM sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang membuat persembahan.
“Saya menyanyi kerana saya mahu menghargai warga KKM atas rela hati dan tanpa bayaran,” jelasnya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Penyanyi lagu ‘Kau Kekasihku’ itu berharap penjelasan yang dibuat dapat menghentikan spekulasi tidak benar membabitkan dirinya sekali gus mengelakkan berlaku fitnah.
“Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik di majlis tersebut.
“Saya rasa penjelasan ini penting supaya tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama serta gambar saya dengan sesuatu tidak sahih,” ujarnya lagi.
Terdahulu, netizen meluahkan rasa kurang senang dan mengkritik majlis sambutan Hari Raya besar-besaran yang dianjurkan KKM.
Ramai pihak mempersoalkan perbelanjaan KKM untuk majlis rumah terbuka itu, selepas beberapa gambar acara berkenaan menunjukkan sambutan yang meriah termasuk persembahan daripada artis popular tanah air.