“Saya Berjanji Untuk Menjaga Amanah Ini Sebaiknya” – Suami Erra Fazira

“Saya Berjanji Untuk Menjaga Amanah Ini Sebaiknya” – Suami Erra Fazira

Suami kepada primadona, Erra Fazira iaitu Ezwan Zain mengakui dirinya bukan insan sempurna, namun bertekad untuk memikul amanah sebagai pasangan hidup dengan sebaik mungkin.

Ezwan berkata, dia hanya mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua pihak agar rumah tangga yang dibina bersama Erra sentiasa berada dalam lindungan dan reda Ilahi.

“Untuk Fazira atau Erra Fazira, majlis ini diadakan kerana awak layak diraikan dengan penuh kasih, keindahan dan ketenangan.

“Terima kasih kerana memilih saya sebagai pasangan hidup awak dan atas kepercayaan, kesabaran serta kasih sayang diberikan.

“Saya bukan insan sempurna tetapi berjanji akan terus mencuba. Di hadapan semua yang hadir, saya berjanji untuk menjaga amanah ini sebaik-baiknya dan membina rumah dipenuhi sakinah, mawaddah dan rahmah,” katanya.

Sabtu lalu, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, diraikan dalam sebuah majlis resepsi penuh elegan yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Anggun mengenakan busana gaun berona keemasan rekaan pereka terkenal Fiziwoo, pelantun lagu Pasrah itu mengakui tersentuh dengan segala usaha dan kejutan yang disediakan oleh suaminya sepanjang menjayakan majlis tersebut.

“Saya tak mahu cakap panjang-panjang tetapi nak puji suami sendiri yang melakukan segala-gala yang katanya untuk saya.

“Saya sangat terharu segala penat lelah, pengorbanannya dan tahu dia tidak tidur, serta realitinya, sehingga ke arah melangkah ke dalam dewan ini pun masih lagi bimbang untuk pastikan semuanya okey,” ujarnya.

Erra turut menyifatkan majlis berkenaan sebagai satu kenangan berharga yang akan disimpan dalam ingatan, selain berjanji untuk menjadi isteri terbaik buat Ezwan.

“Saya akan semat memori ini selama-lamanya dan bimbinglah saya dengan baik. Selain itu saya juga ingin menjadi isteri yang baik buat awak, insya-Allah,” tuturnya.

Majlis resepsi itu turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan selebriti terkenal antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Ning Baizura, Datuk Yusuf Haslam dan Datuk Amy Search.

Untuk rekod, Erra selamat bergelar isteri kepada Ezwan pada 12 Disember lalu dalam satu majlis pernikahan tertutup di Rinjani Majestic, Subang, selepas 11 tahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal.

Related post

Leave a Reply