Sathiya Dibenarkan Pulang Selepas 23 Hari Dirawat Di Hospital

Sathiya Dibenarkan Pulang Selepas 23 Hari Dirawat Di Hospital

Pelawak veteran dan pelakon terkenal era 90-an, Sathiya akhirnya dibenarkan pulang ke rumah selepas 23 hari dirawat di hospital susulan menjalani pembedahan memotong kaki kirinya akibat komplikasi diabetes.

Berita melegakan itu disahkan oleh anaknya, Amani Nair, yang memaklumkan bapanya kini dalam fasa pemulihan dan menunjukkan semangat positif walaupun terpaksa menjalani satu lagi pembedahan di kaki yang sama, baru-baru ini.

“Hari ini, ayah dah dibenarkan pulang ke rumah selepas 23 hari dirawat di hospital. Sebelum ini, darah putihnya tinggi, jadi keadaan kesihatannya ada naik turunnya,” katanya.

Menurut Amani, pembedahan kedua itu terpaksa dilakukan bagi membuang darah beku yang terjadi selepas pembedahan pertama.

“Sabtu lalu, ayah ada menjalani satu lagi pembedahan di bahagian kaki sama sebab ada darah beku. Jadi, pembedahan itu untuk buang darah beku,” kongsinya lagi.

Walaupun masih dalam proses pemulihan, Amani berkata bapanya kelihatan sangat teruja apabila dibenarkan keluar dari hospital dan kembali ke rumah untuk bersama keluarga.

“Dia memang sangat gembira dapat balik rumah dan berjumpa dua cucunya. Balik rumah terus peluk cium cucu. Nampak betul dia rindu suasana di rumah,” ujarnya seperti dilapor Harian Metro.

Sathiya merupakan antara pelawak dan pelakon komedi popular tanah air yang mencipta nama menerusi pelbagai program dan drama televisyen sejak era 1990-an.

Antara karya yang melonjakkan namanya termasuk sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu, selain pernah muncul dalam beberapa filem dan rancangan lawak yang menjadikannya antara wajah pelawak paling dikenali.

Related post

Leave a Reply