Tidak hanya menyajikan jalan cerita yang menyentuh jiwa, naskhah Insya Allah Berkah memberikan pengalaman berbeza buat penonton yang hadir ke panggung dengan menawarkan ganjaran pakej percutian domestik atau pakej umrah kepada mereka yang terpilih.
Filem Indonesia terbitan Anugerah Pictures dan diedarkan oleh D’Ayu Pictures ini menyasarkan 100,000 penonton dan hasrat itu cukup realistik dengan kekuatan jalan cerita yang disajikan.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif D’Ayu Pictures, Azaromi Ghozali berkata, mereka optimis dengan kempen istimewa ini bagi menghargai sokongan penonton.
“Kita sasarkan 50,000 penonton untuk capai tahap pulangan modal. Sebagai ganjaran, kita akan buat cabutan bertuah bagi tiga pakej percutian domestik dua hari satu malam untuk setiap pasangan.
“Sekiranya tontonan mencecah 100,000 orang, kita hadiahkan satu pakej umrah untuk dua orang, tajaan RA Travel,” katanya ketika sidang media usai tayangan perdana Insya Allah Berkah baru-baru ini.
Penonton hanya perlu menyimpan tiket tayangan sebagai bukti penyertaan dan cabutan akan dibuat berdasarkan data daripada pihak pawagam.
Bertemakan filem dakwah yang membawa naratif kasih sayang, Azaromi menganggap filem seumpama ini sudah kurang ditayangkan dan diberi perhatian.
“Sekarang dah jarang ada filem dakwah Islamik tempatan. Kita ambil risiko bawa filem sebegini dari Indonesia kerana yakin ia mampu memberi impak kepada penonton. Filem ni bukan sekadar hiburan, tapi juga motivasi dan harapan,” ujarnya.
“Naskhah ini tentang usaha, kasih sayang dan impian. Kita alu-alukan penonton bukan Islam juga kerana mesejnya menyentuh nilai kemanusiaan,” jelas Azaromi.

Filem ini berdiri berlandaskan kisah hidup Dudung, seorang anak yatim piatu yang tinggal bersama neneknya Romlah. Dalam serba kekurangan, Dudung berusaha keras memenuhi impian neneknya untuk menunaikan ibadah haji.
Perjalanan mereka berubah apabila bertemu dengan Kasniza, seorang gadis yang menjadi pemangkin perubahan dalam hidup mereka.
Insya Allah Berkah dilakonkan oleh Ziedane Baraqbah, Sandrinna Michelle, Aty Cancer, Dhini Aminarti, Dimas Seto, Fauzi Baadila dan Vitalia Sesya mula ditayangkan di pawagam mulai 7 Ogos.