Rosak Dua Kali, Penunggang Basikal Dari Singapura Temui Makna Keikhlasan Di Johor
Kadangkala, sesuatu perjalanan ke sesebuah destinasi boleh menjadi serba tidak kena. Tetapi, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
Hal itu yang dialami oleh seorang penunggang basikal dari Singapura yang berbasikal ke Johor bagi menikmati sesi kayuhan yang tenang.
Begitupun, impiannya tidak menjadi kenyataan apabila basikal yang ditunggang rosak sebanyak dua kali.
Namun, di tengah kekalutan itu, dia menemui sesuatu yang jauh lebih berharga daripada perjalanan yang lancar, iaitu kehangatan dan keikhlasan dari sebuah kampung kecil di Malaysia.
Menerusi perkongsian di Instagram, penunggang basikal yang dikenali sebagai Joel Liu In Jae itu, berkata, apa yang bermula sebagai pengembaraan santai bertukar menjadi ujian terhadap tingkat kesabarannya,
“Sekali lagi, bencana diselamatkan oleh kebaikan manusia,” tulis Joel.
Joel mengayuh dari Singapura ke Johor dengan jangkaan perjalanan tersebut akan berjalan lancar. Namun sebaik sahaja tiba berhampiran Kota Tinggi, segalanya mula menjadi serba tidak kena.
Tayar basikalnya pancit sebanyak dua kali dan dia kehabisan ikhtiar untuk membaikinya. Tanpa pilihan lain, Joel terpaksa menolak basikal sejauh tiga kilometer sambil mencari sesiapa yang boleh membantunya. Pencarian itu membawanya ke sebuah kampung kecil, di mana dia bertemu dengan seorang penduduk tempatan bernama Faz.
Setelah mendengar kisah Joel, dia segera mempersilakannya duduk dan mula membuat panggilan telefon. Dia menghubungi rakan ibunya, kemudian bapa kepada rakannya, serta sesiapa sahaja yang mungkin dapat membantu mencari tempat bermalam.
Di luar jangkaan, Faz berjaya mendapatkan satu slot tapak perkhemahan untuk Joel pada malam itu. Ketika Joel masih terharu dengan bantuan yang diterimanya, seorang lagi penduduk kampung bernama Isa lalu menaiki motosikal.
Apabila mengetahui apa yang berlaku, Isa duduk bersama Joel dan mula mencuba pelbagai cara untuk membaiki tayar basikal tersebut. Mereka mencuba pelbagai kaedah buatan sendiri yang terlintas di fikiran. Malah, Isa berulang-alik ke rumahnya untuk membawa lebih banyak peralatan.
Hampir dua jam mereka berusaha bersama, namun basikal itu tetap tidak dapat digunakan.
Joel memberitahu Isa yang dia akan berjalan kaki sejauh tujuh kilometer lagi untuk sampai ke tapak perkhemahan, namun Isa mempunyai rancangan lain.
Dia meninggalkan tempat itu dengan motosikalnya, kemudian kembali dengan sebuah van. Isa mengangkat basikal Joel ke dalam van dan menghantarnya terus ke tapak perkhemahan. Dalam masa sama, Isa sempat membelikan Joel burger dari gerai tempatan.
Apabila Joel bertanya sama ada Isa sudah makan malam atau keluarganya sedang menunggu di rumah, Isa hanya menjawab:
“Tak apa, nanti saya makan lebihan sahaja,” katanya.
Joel berkata dia benar-benar tersentuh dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh individu yang langsung tidak dikenalinya.
“Saya hanyalah orang asing yang mungkin tidak akan dia jumpa lagi, tetapi dia melakukan semua ini untuk saya dan pergi begitu sahaja tanpa mengharapkan apa-apa,” tulisnya.
Joel menutup kisahnya dengan renungan bahawa sering kali kita menganggap orang di kawasan membangun mempunyai serba kekurangan, namun pada hari itu, dialah yang merasakan dirinya kekurangan sesuatu.
