
Rasa Insaf Lihat Jihad Aktivis Gaza, Elly Mazlein Terdetik Berhijab
Melihat jihad dan pengorbanan aktivis yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein, 44, terjentik hati untuk berhijab.
Pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, berkata keputusan itu hadir daripada keinsafan yang timbul selepas melihat pengorbanan rakan-rakan seperjuangan yang berani menyertai misi ke Gaza.
“Saya mohon semua orang doakan yang terbaik untuk saya. Tiada istilah mencuba-cuba untuk berhijab. Saya hanya mahukan yang terbaik buat diri sendiri dan perlukan doa yang baik-baik daripada semua.
“Kadang-kadang jihad seseorang buat kita insaf. Rasa kagum sangat, terutama bila tengok rakan-rakan yang menyertai GSF berjuang tanpa rasa takut,” katanya.
Mengulas lanjut, ibu dua anak itu turut meluahkan rasa kagum terhadap keberanian rakan-rakan industri yang menyertai misi kemanusiaan GSF, serta berharap mereka pulang dengan selamat.
“Perjuangan mereka sangat hebat dan sepatutnya jadi inspirasi kepada kita semua. Terima kasih kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang sentiasa menyokong perjuangan mereka.
“Saya harap kita semua terus kuat dan sabar menanti kepulangan mereka,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Elly turut menegur segelintir pihak yang gemar melemparkan komen negatif terhadap usaha membantu rakyat Gaza.
“Saya mohon sangat, hentikan kata-kata yang bukan-bukan. Usaha mereka itu cukup mulia. Kenapa perlu patahkan semangat orang lain dengan kata-kata tak cerdik? Tak perlu persoalkan itu dan ini. Lebih baik kita sama-sama doakan mereka yang sedang berjuang,” tegasnya.
Menurut Elly lagi, keputusan berhijab itu turut menerima sokongan penuh daripada suaminya, Mohamad Azlan Che Nuh.
“Sudah tentu suami seronok. Dia peluk dan cium dahi saya sambil ucap terima kasih. Dia kata dia bahagia sangat dengan keputusan ini,” ujarnya dalam nada sebak.