Raja Azura Nasihat Pengacara Baharu Jadi Diri Sendiri, Bukan Tiru Orang Lain
Pelakon dan pengacara, Raja Azura, 53, menasihati pengacara baharu agar tidak cuba menjadi orang lain ketika mengendalikan sesebuah majlis, sebaliknya menonjolkan keaslian diri di atas pentas.
Raja Azura atau lebih dikenali sebagai Kak Engku berkata, menjadi diri sendiri adalah kunci utama untuk membina identiti yang kukuh dalam bidang pengacaraan.
“Jadilah diri sendiri. Saya selalu pesan kepada pengacara baharu, jangan tiru orang lain.
“Bila kita selesa dengan diri sendiri, aura itu akan sampai kepada penonton.
“Tak perlu kata ‘saya kena lakon watak lain bila di atas pentas’. Tak payah, cukup jadi diri sendiri,” katanya.
Menurut pemenang dua kali trofi Pengacara TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu, tugas pengacara bukan untuk berlakon, sebaliknya mengemudi perjalanan sesebuah acara dengan profesional dan berkarisma.
“Pengacara bukan pelakon. Tugas awak adalah mengawal majlis, bukan memainkan watak.
“Pentas itu milik awak, jadi gunakan dengan yakin dan jujur. Tak perlu berpura-pura atau meniru sesiapa.
“Kalau berlakon, kita terikat dengan skrip. Tapi bila mengacara, kejujuran dan spontaniti itu yang buat orang suka,” ujarnya lagi.
Raja Azura turut menegaskan pengacara yang mampu menonjolkan keaslian dan gaya tersendiri akan lebih mudah dikenali serta diingati oleh penonton.
