Raja Azura Fail Permohonan Laksana Perintah Nafkah Selepas 15 Tahun Bercerai
Pelakon dan pengacara, Raja Azura, 53, memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berhubung nafkah yang telah diputuskan sejak tahun 2010.
Menurut peguamnya, Mohammad Amirul Hanizan, perintah asal tersebut perlu diperbaharui kerana tempoh yang terlalu lama menyebabkan perkara itu tidak dapat dilaksanakan.
“Kami memulakan proses berkaitan perintah mahkamah pada 2010. Disebabkan ia sudah terlalu lama, beberapa terma tidak lagi boleh digunakan, maka anak guam saya memohon agar ia dilaksanakan semula oleh bekas suami beliau,” katanya.
Walaupun enggan mendedahkan jumlah sebenar tuntutan, Amirul menjelaskan perkara utama melibatkan nafkah anak-anak serta beberapa komponen lain termasuk nafkah idah.
“Nilainya agak besar, namun itu adalah hak Raja Azura dan keluarganya. Justeru, proses menuntut semula hanya boleh dilakukan melalui mahkamah syariah,” tambahnya.
Sementara itu, Raja Azura menegaskan tindakan tersebut dibuat selepas berbincang dengan tiga orang anaknya, Megat Muhammad Raziq Adzmin, Megat Luqman Hakim Adzmin dan Puteri Mia Maizura Adzmin.
“Sejak bercerai pada 2010, saya tidak pernah memfailkan apa-apa tuntutan. Ini kali pertama saya hadir ke mahkamah kerana mahu menuntut hak anak-anak.
“Kini mereka semua sudah dewasa dan selesai pengajian, jadi saya rasa inilah masa yang sesuai,” jelasnya.
Untuk rekod, Raja Azura mendirikan rumah tangga bersama Adzmin Osman pada Mac 2001 sebelum berpisah sembilan tahun kemudian.
