Puteri Balqis Kini Tunang Kafziel
Pelakon, Puteri Balqis, 18, berkongsi khabar gembira apabila mendedahkan dirinya kini sudah bertunang dengan jejaka pilihan hati yang dikenali sebagai Kafziel.
Berita itu dikongsikan menerusi hantaran di Instagram miliknya, memaparkan Balqis memuat naik beberapa foto indah ketika majlis pertunangannya yang berlangsung pada 12 Ogos lalu.
Walaupun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai majlis berkenaan, pelakon itu ada berkongsi nukilan puitis berupa surat daripada ibunya yang ditujukan khas buat tunangnya.
“Aku lahir dari duka, kau dewasa bersama luka, maka andai derita menjadi pusaka, tenanglah, pabila kau berjalan bersama kecewa. Moga kau mampu menggantikan kesedihan dengan kelembutan, moga jiwamu yang mati diganti dengan keadilan dan ketenangan abadi.
“Andai cinta dan pengorbanan adalah wasiat terakhir buatmu, maka berlarilah mengejarnya, belajarlah dari beban yang ditinggalkan oleh rantai waktu. Moga kau mampu menggantikan pengkhianatan dengan kesetiaan, moga ukiran sejuta janji diganti seindah sarungan imaginasi.
“Andai kejatuhan dan kegagalan adalah warisan dariku, maka peluklah dan rawatlah kalbumu. Moga setiap penantian diganti dengan kemenangan yang tiada tolok bandingannya.
“Moga setiap tangisan dan raunganmu di sepertiga malam diganti dengan cinta paling dalam. Moga setiap luluh langkah bersaksi hanya langit dan bulan merah, setiap jatuh gugur tubuhmu berpaksi hanya bumi, diganti dengan sahabat sejati sebagai teman penghuni,” tulisnya.
Perkongsian itu menerima banyak ucapan tahniah daripada rakan artis serta peminat yang mendoakan agar hubungan pasangan muda tersebut kekal bahagia hingga ke jenjang pelamin.
