Podcast Apa Cerita Esok: “Mampukah Blood Brothers Kutip RM30 Juta?”
Bakal mendapat kutipan lebih RM30 juta, itu jumlah sasaran Blood Brother: Naga Bara yang diramalkan oleh Setiausaha Kehormat, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Arif setelah menyaksikan sendiri tayangan perdana filem berkenaan awal minggu ini.
Selain mempunyai kekuatan jalan cerita yang mantap, filem arahan Syafiq Yusof bersama Abhilash Chandra ini turut mempertaruhkan sinematografi yang baik selain mempertaruhkan ramai pelakon hebat tanah air.
“Ini antara filem aksi yang hebat dan wajib ditonton. Bila melihatkan sambutan luar biasa daripada penonton, saya yakin ia mampu memperolehi kutipan lebih RM30 juta.
“Kalau dilihat kepada sambutan penonton terhadap trailer dan sebagainya, ia sudah memberikan maklum balas positif daripada mereka. Dengan kekuatan jalan cerita dan suntingan yang baik, tidak mustahil ia akan memberikan kutipan box office yang besar,” kata Zahrin.
Zahrin berkata demikian menerusi podcast Apa Cerita Esok yang diterbitkan oleh BZ Creative untuk portal Seniman yang dikendalikan oleh Jijol Hakim.
Dalam episod pertama itu, mereka membincangkan ulasan tentang filem Blood Brother: Naga Bara yang mula ditayangkan kepada umum pada 11 April yang lalu.
Selain Zahrin, turut sama menjadi tetamu podcast merupakan penggemar filem tempatan, Mazrul Haqeem yang sentiasa memberikan sokongan kepada setiap naskhah filem baharu.
Tambah Zaharin, kekuatan sesebuah filem bukan sahaja terleyak kepada jalan cerita tetapi juga merangkumi kekuatan pelakon, aspek teknikal dan suntingan yang baik.
“Bila melihatkan keseluruhan naskhah ini, saya yakin ia mampu berdiri setanding dengan filem luar negara. Bila masuk ke panggung, mereka bukan sahaja ‘berlawan’ dengan filem tempatan yang lain tetapi juga bersaing dengan filem luar negara.
“Saya lihat Blood Brothers ini mampu bersaing dengan karya antarabangsa,” kata Zahrin lagi.
Bagi Haqeem pula, apa yang dipersembahkan menerusi filem ini begitu dekat di hati dan menghiburkan sesiapa sahaja yang menonton. Tambanya, ada beberapa babak begitu menyetuh hati dan membuatkan air matanya berguguran.
“Walaupun ini merupakan filem aksi, ada beberapa babak sangat menyentuh hati dan membuat saya mengalirkan air mata. Ini merupakan filem aksi tapi masih ada babak yang sangat menyentuh emosi.
“Blood Brothers ini merupakan filem tentang semangat setiakawan. Ada banyak pelajaran yang kita boleh dapat melalui filem ini,” kata Haqeem lagi.
Saksikan review penuh di https://www.youtube.com/watch?v=LmKD0c3WX5k