Pernikahan Kamal Adli & Uqasha Senrose Sah Ikut Syarak – JAIP

Pernikahan Kamal Adli & Uqasha Senrose Sah Ikut Syarak – JAIP

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan pernikahan pasangan selebriti, Kamal Adli dan Uqasha Senrose adalah sah dan dijalankan mengikut hukum syarak.

Menurut JAIP, semakan rekod rasmi menunjukkan pasangan itu telah dinikahkan pada 4 November 2021, jam 9.30 malam bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong.

“Majlis akad nikah dijalankan dengan kehadiran dan persetujuan wali mujbir pengantin perempuan iaitu bapa kandungnya Nik Sen Mat Ripin yang memberi wakalah wali kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Kawasan Bentong 1 untuk melaksanakan akad nikah tersebut,” jelas JAIP.

Tambah jabatan itu, majlis berkenaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19 ketika itu.

“Jabatan ini memperakukan bahawa akad nikah yang berlangsung memenuhi semua rukun nikah dan sah dari segi hukum syarak,” kata jabatan itu seperti dilapor BH Online.

Pengesahan berkenaan sekali gus menamatkan persoalan mengenai status perkahwinan Kamal dan Uqasha yang kini hangat diperkatakan susulan kemelut rumah tangga mereka.

Sebelum ini, Uqasha menerusi satu hantaran di Instagram mendakwa dirinya telah diperdaya berhubung tarikh sebenar pernikahan dengan mendakwa akad nikah berlaku pada 5 November 2021 jam 9 pagi sedangkan tarikh tertera dalam sijil menunjukkan 4 November 2021 jam 9.30 malam.

Namun begitu, hantaran berkenaan difahamkan telah dipadam beberapa jam kemudian selepas menimbulkan perhatian ramai.

Dalam perkembangan berkaitan, prosiding sebutan pertama kes perceraian pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan yang dijadualkan pada Rabu telah ditangguhkan ke 28 Oktober ini.

Penangguhan dibuat selepas Kamal dilapor tidak dapat hadir ke mahkamah kerana terikat dengan jadual penggambaran, meskipun dimaklumkan lebih awal mengenai tarikh prosiding.

Related post

Leave a Reply