Perkahwinan Dayana Roza Hanya Bertahan 5 Tahun, Sah Bercerai Talak Satu

Perkahwinan Dayana Roza Hanya Bertahan 5 Tahun, Sah Bercerai Talak Satu

Selepas hampir lima tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Dayana Roza, 34, mengesahkan perkahwinannya dengan usahawan A’dale Adham Ayahudin telah berakhir apabila mereka sah bercerai pada 18 Disember lalu.

Kehadiran Dayana atau nama sebenarnya Nur Dayana Kamsun Baharin di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak sebelum ini mencetuskan tanda tanya, sebelum status perceraiannya akhirnya terjawab.

Bagaimanapun, sehingga kini Dayana masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai perceraian tersebut di media sosial miliknya.

Pelakon itu mengesahkan kehadirannya ke mahkamah adalah bagi menyelesaikan urusan perceraian bersama bekas suami.

“Ya, memang saya hadir ke mahkamah untuk proses cerai. Saya kini sah bercerai talak satu dan sedang menjalani tempoh idah,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Mengulas lanjut mengenai punca keretakan rumah tangga, Dayana menjelaskan hubungan mereka sudah lama berdepan masalah persefahaman.

“Sebenarnya tahun lalu kami hampir bercerai, namun saya beri peluang kedua untuk memperbaiki keadaan. Nampaknya sampai di sini sahaja jodoh kami,” ujarnya lagi dengan penuh pasrah.

Sebagai ibu kepada dua anak yang masih kecil, Dayana berkata dia kini bersedia untuk kembali aktif dalam dunia lakonan demi memastikan kebajikan anak-anak terus terjamin.

“Saya perlu bekerja keras untuk membesarkan anak-anak. Insya-Allah jika ada tawaran yang sesuai dan menepati masa, saya akan terima,” jelasnya.

Tambah Dayana, sebelum ini dia banyak menolak tawaran lakonan kerana mahu memberi sepenuh perhatian kepada keluarga.

“Anak-anak saya masih kecil dan perlukan perhatian. Tetapi sekarang saya perlu kembali mencari rezeki demi mereka,” katanya.

Untuk rekod, Dayana dan A’dale mendirikan rumah tangga pada 25 Disember 2020 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Astrid Raheeya, 4, dan Aryan Andika, 2.

Related post

Leave a Reply