Gaya HidupTrending

“Perkahwinan Bukan Trend, Orang Lain Berkahwin Kita Pun Nak Kahwin”

Pelakon, Sherry Ibrahim, 42, mengulas mengenai tanggapan yang sering dilemparkan kepadanya, termasuk digelar sebagai wanita ‘high maintenance’, yang dikatakan membuatkan sesetengah lelaki berasa segan untuk menjadikannya pasangan hidup.

Sherry berkata persepsi itu mungkin timbul apabila melihat gaya hidupnya yang serba lengkap dan penampilan yang menarik, sehingga ramai menilai dirinya sebagai wanita ‘pakej lengkap’.

“Orang sering melihat dari segi rupa cantik, tinggi, kurus sehingga ada yang takut untuk mendekati saya. Ada juga yang menganggap saya ‘high maintenance’, tetapi hakikatnya tidak begitu.

“Semua yang saya miliki adalah hasil usaha sendiri sejak umur 18 tahun. Saya seorang yang ringkas, tetapi bekerja keras untuk mencapai apa yang saya impikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sherry mengakui sudah bersedia untuk menempuh fasa hidup sebagai seorang isteri. Namun, katanya, mencari pasangan yang jujur dan ikhlas adalah cabaran terbesar pada masa kini.

Bagi Sherry, kejujuran bukan sekadar kata-kata manis tetapi perlu dibuktikan melalui tindakan.

“Jangan hanya pandai bercakap, kerana saya sudah tidak mempunyai masa untuk menunggu. Saya sudah bersedia untuk berumah tangga dan usia saya juga sudah mencecah tahap yang perlu mengambil kira soal zuriat.

“Tetapi saya percaya pada aturan Tuhan dan bersabar. Perkahwinan bukan tentang mengejar trend atau kerana orang lain sudah berkahwin, kita juga nak tergesa-gesa kahwin,” katanya lagi.

Selain menekankan kejujuran, Sherry menegaskan lelaki yang dicari mestilah ikhlas dan berhati baik.

“Tiga ciri ini sangat penting. Saya sudah terlalu biasa mendengar janji-janji, tetapi di mana tindakannya? Saya mahukan bukti melalui perbuatan, bukan sekadar kata-kata.

“Jika lelaki itu benar-benar berani, dia akan datang berjumpa ibu bapa saya. Jika semuanya sesuai, insya-Allah, perkahwinan itu akan berlaku,” ujarnya lagi.

Sherry juga menegaskan bahawa walaupun jodohnya lambat tiba, dia tidak berasa sedih atau kecewa kerana yakin setiap perkara telah diatur oleh Tuhan.

Related Articles

Back to top button