Percaturan ‘Berani Mati’, Denu Angkat Kisah Makyung

Percaturan ‘Berani Mati’, Denu Angkat Kisah Makyung

Filem yang bercorak tentang seni budaya boleh dikatakan kurang menjadi pilihan syarikat produksi untuk diterbitkan.

Namun begitu, True Legacy Sdn Bhd mengambil pendekatan tersendiri dengan menghasilkan sebuah filem berjudul Denu yang mengangkat tarian makyung sebagai inti pati utama penceritaannya.

Penerbitnya, Datuk Ahmad Tamimi Sirergar berkata, Denu diinspirasikan daripada kisah benar yang berkisar tentang sekumpulan penggiat seni makyung pada era pra kemerdekaan dengan penceritaan yang mendalam, penuh konflik dalaman dan budaya yang hampir dilupakan.

“Idea filem ini telah wujud sejak tahun 15 tahun lalu melalui perbincangan awal antara penulis asal iaitu Allahyarham Sabri Mohd Zain atau Samoza.

“Saya cukup terpikat dengan kisah dalam filem ini mengenai perjuangan sebuah kumpulan makyung sekitar tahun 1955, iaitu sejurus selepas pilihan raya pertama di Kelantan. Kemudian naskhah ini akhirnya direalisasikan selepas lebih sedekad penyelidikan dan pembangunan skrip yang rapi,” ujarnya.

Tamimi berkata, biarpun filem mengenai makyung pernah dihasilkan sebelum ini, namun Denu adalah sebuah karya yang membawa naratif berbeza.

Jelasnya, jalan cerita yang dipaparkan lebih kepada cabaran hidup, pergelutan emosi serta perpecahan dan penyatuan dalam satu kumpulan kecil wanita yang memperjuangkan seni mereka di tengah perubahan zaman.

“Untuk menghasilkan filem ini, kajian terhadap aspek pakaian, budaya serta latar sosio-budaya dijalankan secara teliti bagi memastikan ketulenan dalam penceritaan. Skrip asal Allahyarham Sarmosa diolah semula dan disusun melalui lapan draf utama sebelum penggambaran bermula.

“Kemudian, Denu diolah dalam bentuk fiksyen dengan mempersembahkan sebuah naratif sinematik yang kuat namun tetap menghormati asal-usul warisan makyung yang kini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” ujarnya.

Kisah makyung menjadi tunjang utama kepada filem Denu.

Selain menampilkan sebuah cerita yang menarik, Tamimi juga memberitahu aspek pemilihan pelakon turut memainkan peranan utama. 

Untuk filem berkenaan, dia telah memilih nama-nama yang hebat seperti Sabri Yunus, Hairi Safwan dan Nad Zainal selaku tunjang utama.

“Pemilihan pelakon sememangnya dilakukan secara teliti, Bukan sahaja berdasarkan bakat lakonan, malah keupayaan menguasai dialek Kelantan dan pemahaman mendalam terhadap seni tari makyung.

“Saya tidak mahu sekadar pelakon yang boleh berlakon, tetapi saya mahu mereka faham roh makyung itu sendiri.

Mengenai harapannya selaku penerbit dan pengarah filem Denu, ternyata Tamimi tidak meletakkan sebarang harapan yang terlalu tinggi.

“Sudah tentu saya mahu filem ini diterima baik dan mendapat sambutan penonton, tetapi apa yang lebih utama saya percaya golongan pengkaji seni dan sejarah akan menghargai filem ini serta akan menjadi bahan rujukan seni pada masa akan datang.

“Denu bukan sekadar filem tetapi ia adalah satu penghormatan kepada para wanita penggiat seni tradisi yang pernah wujud dalam lipatan sejarah negara,” ujarnya yang mengharapkan sambutan baik daripada peminat sejak ditayangkan 21 Ogos lalu.

Related post

Leave a Reply