Penyanyi Ditahan Polis, Positif Dadah
Polis mengesahkan pengarah dan penyanyi kontroversi, Namewee, 42, telah ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bulan lalu selepas disyaki memiliki dan menggunakan dadah jenis ekstasi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menahan suspek pada jam 4.30 petang, 22 Oktober lalu.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik hotel terbabit menemui sembilan biji pil berwarna biru yang disyaki pil ekstasi, dengan anggaran berat 5.12 gram.
“Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati Namewee positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC.
“Suspek direman selama dua hari sebelum didakwa di mahkamah pada 24 Oktober lalu dengan dua pertuduhan,” katanya.
Bagi pertuduhan pertama, Namewee didakwa di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, namun mengaku tidak bersalah.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama atas kesalahan menggunakan dadah.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah dan dibenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Kes tersebut dijadualkan untuk sebutan semula di mahkamah pada 18 Disember ini.
