Penumpang Tidur Terlalu Lena Sampai Sukar Dikejutkan, Pemandu E-Hailing Terpaksa Bawa Ke Balai Polis
Tugas e-hailing lewat malam yang rutin bertukar menjadi pengalaman mencemaskan bagi seorang pemandu di Kuala Lumpur apabila penumpangnya tertidur terlalu lena sehingga tidak dapat dikejutkan walaupun sudah sampai ke destinasi.
Berkongsi pengalamannya di Xiaohongshu, pemandu itu berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 11:30 malam, ketika beliau mengambil seorang penumpang wanita berhampiran Bangsar, dengan destinasi ditetapkan ke Cheras.
Menurut pemandu berkenaan, dia jarang memulakan perbualan dengan penumpang, dan sepanjang perjalanan keadaan sunyi tanpa sebarang interaksi.
Selepas kira-kira 30 minit, pemandu tiba di destinasi dan cuba beberapa kali mengejutkan penumpang tersebut. Namun, wanita itu langsung tidak memberi reaksi, malah anjingnya yang menyalak berdekatan juga gagal mengejutkannya.
Tidak pasti apa yang perlu dilakukan dan berdepan situasi seperti itu buat pertama kali, pemandu menghubungi khidmat pelanggan untuk bantuan. Dia kemudian diarahkan menghantar penumpang itu ke balai polis terdekat.
Pemandu itu kemudian berkongsi gambar menunjukkan keretanya berada di dalam kawasan balai polis, sambil menjelaskan dia masuk dengan arahan rasmi daripada khidmat pelanggan.
Menyedari penumpangnya seorang wanita, seorang pegawai lelaki memanggil rakan setugas wanita untuk membantu mengejutkannya.
Walaupun pemandu itu tidak menjelaskan bagaimana wanita itu akhirnya berjaya dikejutkan, dia berkata situasi bertukar pelik sekali lagi setelah penumpang itu bangun.
Menurutnya, wanita itu memberitahu pegawai polis wanita yang dia tidak mahu keluar dari kereta.
Rupa-rupanya, wanita itu tidak mahu diturunkan di balai polis, sebaliknya mahu dihantar pulang.
Selepas lima minit, pemandu itu akhirnya berjaya menghantar penumpang berkenaan pulang.
Katanya, penumpang itu berjanji akan memberinya tip atas kesulitan yang dialami, namun setakat hantaran itu dibuat, dia masih belum menerima apa-apa ganjaran.
Insiden yang berlanjutan itu juga menyebabkan dia terlepas peluang mendapat tempahan lain malam tersebut, membuatkannya berasa kecewa.
Mengulas pengalaman tersebut, pemandu itu berkata jika kejadian sama berlaku lagi, dia akan terus menghantar penumpang ke balai polis tanpa membuang masa menghubungi khidmat pelanggan.
Tambahnya, dia akan menasihatkan penumpang supaya menempah perjalanan lain dari balai polis.
Sumber: Weirdkaya
