‘Penggambaran Malam Terlarang, Saya Belum Bertudung’ – Shasha Abedul
Pelakon Shasha Abedul, 29, menjelaskan penggambaran filem terbaharunya berjudul Malam Terlarang dijalankan sebelum dia mengambil keputusan untuk mengenakan hijab sepenuhnya.
Menurut Shasha yang mula berhijab pertengahan tahun lalu, perubahan imej itu sama sekali tidak menghalangnya untuk terus aktif dalam dunia lakonan, malah membuka lebih banyak ruang untuk dirinya mencuba pelbagai watak baharu.
“Penggambaran filem ini dilakukan pada Julai tahun lalu, sebelum saya berhijrah. Jadi, bagi penonton yang menonton filem ini, saya ingin maklumkan bahawa ketika itu saya masih belum bertudung.
“‘Shooting’ ini sebenarnya sudah lama selesai, hampir setahun berlalu dan baru sekarang filem ini ditayangkan,” katanya.
Filem arahan Nurhanisham Muhammad itu menjadi pengalaman baharu buat Shasha yang pertama kali membintangi filem bergenre seram.
Selain menuntut kekuatan fizikal, watak Mawar yang dibawanya juga memerlukan penghayatan emosi yang mendalam dan komitmen tinggi sepanjang 28 hari penggambaran.
“Watak Mawar agak berat dari segi emosi dan fizikal. Untuk menampakkan keletihan watak itu, saya sengaja tidak tidur di set supaya benar-benar nampak letih di hadapan kamera.
“Penggambaran pula dijalankan dari jam 6 petang hingga awal pagi, kadang-kadang sampai 12 jam. Ini pengalaman baharu bagi saya sebab tak biasa bekerja waktu malam.
“Tapi dari situ saya banyak belajar tentang disiplin, fokus dan ketahanan diri,” jelasnya.
Berkongsi pengalaman mistik sepanjang penggambaran, Shasha mengakui pernah mengalami kejadian aneh ketika berada di lokasi penggambaran yang terletak di kawasan paya bakau sunyi dan terpencil.
“Saya sendiri pernah mengalami gangguan. Antara yang paling saya ingat, satu malam saya terdengar suara seperti pembantu pengarah memanggil nama saya untuk bersiap di set.
“Tapi bila saya tanya semula, orang itu kata dia tak pernah panggil pun. Memang meremang waktu tu,” ceritanya.
