
Pengarah Ditahan Selepas Didakwa Rogol Pelakon Baharu, Janjikan Watak Utama Filem
Pelakon dan pengarah terkenal India, Uttar Kumar, ditahan pada Isnin lalu selepas didakwa merogol seorang penyanyi berusia 25 tahun.
Bagaimanapun, sejurus ditahan, Kumar mengadu tidak sihat dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta. Polis memaklumkan dia akan dibawa semula ke tahanan selepas disahkan pulih.
Menurut laporan polis, mangsa membuat aduan pada 18 Julai lalu, mendakwa Kumar melakukan serangan seksual antara Januari 2020 hingga Julai 2023.
Memetik laporan Times of India (TOI), mangsa dikatakan dijanjikan perkahwinan serta peranan utama dalam filem, namun janji itu tidak ditunaikan.
Mangsa turut mendakwa pernah cuba membunuh diri pada 6 September lalu di hadapan kediaman Ketua Menteri Uttar Pradesh kerana polis didakwa gagal mengambil tindakan.
Sebelum itu, aduannya pada 24 Jun juga tidak diendahkan sehingga mahkamah mengarahkan laporan rasmi (FIR) dibuat.
Dalam kenyataan kepada media, mangsa mendedahkan dia mula mengenali Kumar pada Ogos 2020 menerusi sebuah projek muzik.
Sejak itu, aktor berkenaan dikatakan kerap menjemputnya ke pejabat di Ghaziabad serta ladang di Amroha dengan alasan urusan kerja.
Mangsa mendakwa gangguan seksual pertama berlaku antara Ogos hingga September 2020.
Kumar dikatakan memujuknya minum arak sebagai ‘syarat’ untuk bergaul dengan orang industri sebelum memaksanya melakukan hubungan fizikal.
Aduan yang difailkan juga menyebut pola gangguan berulang sehingga November 2023, termasuk ugutan, penyalahgunaan kuasa serta eksploitasi dengan janji perkahwinan dan tawaran filem.
Apabila mangsa mula menolak dan menerima tawaran lain, Kumar didakwa mengugut untuk memfitnah, menyebarkan video peribadi serta menyenaraihitamkannya daripada industri filem Haryanvi.
Kes ini turut disiasat di bawah kesalahan rogol, ugutan jenayah dan beberapa seksyen berkaitan Akta SC/ST (Pencegahan Atrocity), termasuk dakwaan penghinaan berunsur kasta.
Polis kini sedang meneliti semula laporan tersebut dan menunggu pengesahan perubatan sebelum Kumar disambung tahanan.