Pemilik Rumah Airbnb Kerugian RM4,500 Gara-Gara Penyewa Dari Singapura Muntah-Muntah Lepas Makan Bak Kut Teh

Pemilik Rumah Airbnb Kerugian RM4,500 Gara-Gara Penyewa Dari Singapura Muntah-Muntah Lepas Makan Bak Kut Teh

Seorang pemilik Airbnb mengalami kerugian yang dianggarkan mencecah RM4,500 selepas tetamu dari Singapura didakwa muntah-muntah gara-gara makan Bak Kut Teh.

Begitupun, seorang rakan kepada lelaki warga Singapura berkenaan berkata, kejadian itu berkemungkinan berpunca daripada salah faham, dan mendakwa lelaki tersebut sebenarnya telah mengalami demam panas serta selesema selama beberapa hari sebelum insiden tersebut berlaku.

Pemilik Airbnb itu, Yu, memberitahu China Press, hampir 80 peratus daripada apartmen satu bilik yang disewakan mengalami kerosakan, dan menyifatkan keadaan rumah tersebut sebagai ‘mengerikan’.

Menurutnya, kebanyakan perabot dipenuhi muntah, menyebabkan dia terpaksa membersihkan serta membasmi kuman seluruh apartmen. Memetik China Press pula, Yu mungkin perlu menggantikan perabot yang rosak.

Mengimbau kembali kronologi, insiden tersebut berlaku selepas lelaki warga Singapura itu mendaftar masuk ke rumahnya pada 15 Disember lalu dan dijadualkan mendaftar keluar pada pukul 12 tengah hari, 21 Disember 2025.

Pada pukul 5 petang hari yang sepatutnya warga Singapura itu menginap, Yu hadir ke rumah dengan seorang pengawal keselamatan dan tukang cuci selepas tidak menerima sebarang makluman daftar keluar daripada tetamu berkenaan.

Selain itu, panggilan telefon kepada lelaki itu tidak dijawab dan kunci rumah juga tidak diletakkan semula ke dalam peti surat.

Apabila pintu dibuka, Yu mendapati lelaki tersebut tidak sedarkan diri di atas sofa.

“Namun, tiada bau alkohol atau botol minuman keras di lokasi kejadian,” katanya.

Yu berkata semua yang berada di situ terlalu takut untuk masuk ke dalam rumah. Mereka hanya cuba mengejutkan lelaki tersebut dengan menjerit dari luar. Namun, lelaki itu tidak memberi sebarang tindak balas.

Selepas mengesahkan lelaki tersebut masih bernafas, Yu segera menghubungi pihak polis.
Namun, apabila Yu kembali ke apartmen kira-kira satu setengah jam kemudian, lelaki itu masih tidak sedarkan diri. Yu kemudian menghubungi ambulan untuk membawa lelaki tersebut ke hospital. Pihak hospital turut memaklumkan bahawa lelaki itu muntah tanpa henti dan keadaannya agak serius.

Selain isu muntah-muntah, lelaki Singapura itu memberitahu wang tunai yang dibawanya telah hilang dan mengesyaki Yu mengambil wang tersebut.

Yu bagaimanapun menegaskan dia tidak memasuki unit itu sebelum ketibaan paramedik dan hanya masuk bersama mereka, sekali gus menafikan kemungkinan beliau mengambil wang lelaki tersebut.

“Saya mencurahkan sepenuh hati dalam setiap aspek menyewa, membeli dan menghias rumah inap saya.

“Saya benar-benar berharap setiap tetamu yang menginap akan menjaga rumah saya dengan baik,” katanya,

Related post

Leave a Reply