Pemergian Yazid Zakaria, Anwar Utus Takziah

Pemergian Yazid Zakaria, Anwar Utus Takziah

Dunia muzik tanah air dikejutkan dengan pemergian Konduktor Orkesta Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya, Mohd Yazid Zakaria, yang dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Khabar duka tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran Instagram sebentar tadi.

“Menerima khabar duka, pemergian Allahyarham Mohd Yazid Zakaria, Konduktor Orkestra Tradisional, insan yang bertanggungjawab mengetuai persembahan sewaktu Majlis Makan Malam Gala ASEAN baru-baru ini.

“Sesungguhnya, pemergian ini merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni tempatan tatkala Allahyarham bukan sekadar seorang konduktor berbakat, tetapi insan seni berjiwa luhur yang menjadikan muzik sebagai wahana menyatukan hati dan memperindah jiwa bangsa,” kata Anwar.

Mohd Yazid memimpin persembahan Majlis Makan Malam ASEAN Summit baru-baru ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menghargai jasa dan pengorbanan yang dicurahkan Allahyarham mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan dan bakti dalam mengangkat martabat muzik tradisional negara. 

Sambil mengenang segala kebaikan dan dedikasi Allahyarham selama ini, jasa yang ditabur akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi buat generasi mendatang.

“Saya turut dimaklumkan bahawa anakanda Allahyarham bakal melangsungkan perkahwinan pada 1 November ini. 

“Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang berat ini. Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulisnya lagi.

Terdahulu, Allahyarham dilaporkan meninggal dunia setelah terjatuh di rumahnya yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan.

Related post

Leave a Reply