Pelancong China Puji Malaysia Bersih, Selamat & Mesra Wanita

Pelancong China Puji Malaysia Bersih, Selamat & Mesra Wanita

Sebahagian rakyat Malaysia suka merungut tentang negara kita. Walaupun kritikan membina sentiasa baik untuk penambahbaikan, kadangkala kita perlu mengambil langkah ke belakang, melihat dari perspektif berbeza, dan menghargai apa yang kita miliki.

Baru-baru ini, seorang pelancong dari China berkongsi di Xiaohongshu yang dia melawat Malaysia dan sangat menyukainya, serta menyenaraikan tiga perkara yang paling menarik sepanjang percutiannya.

Menurutnya, peraturan anti-merokok di Malaysia membantu mengekalkan kebersihan dan kesegaran persekitaran.

“Di kawasan separa terbuka dan dalam bangunan, merokok adalah dilarang sama sekali!” tulisnya sambil memberikan pujian terhadap ruang awam negara yang bersih.

Pelancong itu turut memberitahu yang dia terkejut dengan ketegasan penguatkuasaan undang-undang tersebut.

Satu lagi perkara yang menjadi sorotan ialah koc khas wanita di dalam tren, yang digambarkannya sebagai sangat mesra dan selamat untuk wanita.

“Tambang tren murah, stesen pula dekat antara satu sama lain, dan adanya koc khas wanita buat saya rasa sangat selesa untuk bergerak. Ia memang satu usaha yang sangat prihatin,” katanya.

Tambahnya lagi, terdapat banyak stesen tren di pusat bandar Kuala Lumpur dan tren berhenti dengan kerap.

Selain itu, pelancong berkenaan turut teruja dengan kebersihan teksi di Malaysia.

“Setiap teksi yang saya naiki baunya wangi! Tak kira kereta baharu atau lama, langsung tiada bau asap rokok. Pemandu juga sentiasa guna pewangi kereta, rasa sangat segar,” tambahnya.

Pengalaman menaiki kereta dengan tempat duduk pemandu di sebelah kanan adalah sesuatu yang baharu baginya.

Memetik WeirdKaya, pelancong itu memaklumkan lawatannya ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dilakukan dengan jadual yang padat.

Katanya, dia sangat menyukai pengalamannya di Malaysia, terutamanya makanan tempatan, sambil menunjukkan hidangan bihun kari dan nasi lemak.

“Saya berasal dari Guangdong, dan saya memang tak dapat menahan diri daripada mencuba makanan pedas di sini!” kongsinya dalam ruangan komen.

Related post

Leave a Reply