Pelakon Porno Bakal Diusir Dari Bali, Selepas Didenda Akibat Lakukan Kesalahan Trafik
Pelakon porno kontroversi dari Britain, Bonnie Blue, dijangka diusir dari pulau Bali, Indonesia pada Jumaat selepas dikenakan denda kecil atas kesalahan trafik, menurut peguamnya.
Polis tempatan minggu lalu menyerbu sebuah studio di Badung, kawasan pelancongan popular berhampiran ibu kota pulau peranginan itu, Denpasar, dan menahan Blue, 26, atau nama sebenarnya Tia Billinger.
Tiga lelaki, dua warga Britain dan seorang warga Australia turut ditahan kerana disyaki menghasilkan kandungan pornografi.
Namun polis berkata mereka tidak menemui sebarang bukti bahan lucah.
Sebaliknya, Billinger dan seorang rakannya, Liam Andrew Jackson, 27 dikenakan denda 200,000 rupiah (RM49) pada Jumaat kerana melanggar peraturan trafik.
“Hakim memutuskan bahawa kedua-dua defendan telah melakukan kesalahan tersebut secara sah, bersama-sama dan berterusan,” kata Hakim Mahkamah Daerah Denpasar, I Ketut Somanasa.
Dalam serbuan pada 4 Disember lalu pihak polis merampas sebuah trak pikap biru gelap berlabel Bang Bus.
Tabloid Britain Daily Mail melaporkan, kenderaan tersebut dipercayai tidak membayar cukai sejak 2023 dan telah dicat semula secara haram daripada warna putih ke biru tanpa pendaftaran semula.
Peguam Billinger, Edward Pangkahila memberitahu AFP, meskipun dendanya kecil, anak guamnya kemungkinan besar akan diusir.
Walaupun Bali majoritinya beragama Hindu dan menjadi tumpuan jutaan pelancong asing, Indonesia yang majoritinya Muslim melarang keras penghasilan bahan pornografi, yang membawa hukuman penjara sehingga 12 tahun dan denda mencecah USD360,000 (RM1.4 juta).
Billinger meraih populariti melalui aksi provokatifnya sebagai pencipta kandungan dewasa. Kesnya muncul di tengah-tengah rungutan baharu oleh pegawai Bali mengenai pelancong asing yang bertindak liar, berikutan siri pengusiran beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk beberapa pempengaruh dari Rusia yang diusir kerana bergambar bogel di lokasi suci.
